20 September 2020

The Unchallengeable Miracles of the Qur'an (35/2020)



 




Tajuk: The Unchallengeable Miracles of the Qur'an
Penulis: Yusuf Al-Hajj Ahmad
Penerbit: Darussalam 2010
Jumlah Halaman: 339



ULASAN 35/2020.

Buku ini aku beli dalam tahun 2013. Baru sekarang dapat membaca dan menghabiskannya. Punyalah lama! Aku mula membaca buku ini dalam bulan Mei; tepatnya pada 22 Mei 2020 dan mengambil masa selama hampir empat bulan untuk menghabiskan pembacaan.

Buku ini berkulit keras. Halamannya merupakan kertas glossy yang mengandungi gambar berwarna-warni. Tulisannya sederhana besar; sesuai bagi seorang pembaca yang agak rabun seperti aku. 

Umat Islam wajib beriman dengan Kitab Al Quran, kerana ia mengandungi kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mukjizat Al Quran itu sendiri apabila ayat-ayatnya diturunkan kepada seorang hamba Allah SWT yang tidak tahu menulis dan membaca, seperti Nabi Muhammad s.a.w.; dan isi kandungannya pula merentas zaman. 

Sesetengah ayat boleh difahami secara terang-terangan, manakala ada pula ayat yang perlu dikaji dan difahami dengan lebih mendalam. Ayat-ayat seumpama ini telah dibuktikan oleh kajian saintifik yang dijalankan sejak berkurun lamanya. Maka dengan adanya bukti dari kajian sains ini, jelas bahawa ayat-ayat Al Quran bukanlah dicipta oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri, malah ianya datang dari suatu kuasa yang lebih besar dan tinggi ilmunya; iaitu Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Inilah yang cuba diketengahkan oleh penulis buku ini. 

Bila dibaca pada tajuk, tentulah kita akan mengharapkan kandungan dalam buku ini menulis tentang mukjizat-mukjizat Al Quran. Pada mulanya begitulah tanggapanku. Walaupun aku tahu, ayat-ayat Al Quran tidak perlu lagi diperjelas dan dibuktikan oleh apa-apa, kerana semuanya benar belaka; namun aku punya naluri ingin tahu untuk membaca sendiri apakah bukti-bukti yang telah ditemui oleh pakar-pakar sains Islam dan bukan Islam. 


Namun begitu, buku ini memberikan suatu bentuk keyakinan bahawa ayat-ayat Al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT dan juga Hadis yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah hanya dibuat-buat; tetapi semuanya mengandungi maksud yang tersendiri dan sudah terbukti pada masa kini. 

Contohnya mengenai ayat dari Surah Al A'raf : 31 yang menegah manusia daripada makan secara berlebihan. Sekarang ini sudah banyak bukti sains mengenai akibat buruk daripada makan yang berlebihan. Banjir besar yang melanda kaum Nabi Nuh a.s. juga disebut dalam Surah Al-Furqan : 37 dan Surah Hud : 40; dan bukti peninggalannya telah dijumpai oleh sekumpulan ahli sains, terletak kira-kira 10km dari Gunung Ararat. 
Tetapi, aku agak kecewa kerana tidak banyak yang diketengahkan oleh penulis buku ini dalam konteks begitu. Malah, ada beberapa bab yang menyebut tentang Hadis Rasulullah s.a.w., dan bukannya ayat Al Quran. Ini agak mengecewakan aku, kerana tajuknya ialah mengenai keajaiban Al Quran. Jadi, kekecewaan ini lebih kepada harapanku (my expectations) terhadap buku ini. Dalam bab-bab yang menulis tentang ayat Al Quran, ayat yang sama diulang-ulang walaupun ia sudah pun diperjelaskan. 
Mayat Firaun yang lemas di Laut Merah juga ditinggalkan oleh Allah SWT sebagai peringatan kepada umat manusia, seperti yang disebut di dalam Surah Yunus : 91-92; dan mayat ini telah dijumpai pada tahun 1898. 

Buku ini juga mengupas tentang kejadian manusia yang sangat kompleks; dan setiap pembentukan organ dalaman manusia telah dibuktikan oleh saintis dari semasa ke semasa. Ia menyatakan dengan panjang lebar tentang pembentukan janin, bagaimana terjadinya janin itu, tentang proses mengandung, tentang proses menyusukan bayi, dan tentang khasiat buah kurma untuk wanita yang sedang mengandung. 

Buku ini turut menyatakan tentang anatomi manusia termasuk perbezaan cap jari antara seorang dengan seorang yang lain; malah antara satu jari dengan jari yang lain! Dalam kekecewaanku pada awal pembacaan, ia bertukar menjadi kekaguman dan kesyukuran terhadap Allah SWT Yang Maha Bijaksana. Tidak mungkin ada makhluk lain yang mampu menandingi kuasa Allah SWT dalam menjadikan manusia yang kompleks ini. 

Banyak lagi ayat-ayat Al Quran yang telah dibuktikan kebenarannya pada masa kini. Buku ini juga menyatakan tentang Hadis-Hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut tentang sesuatu perkara yang bakal berlaku; dan perkara itu memang benar-benar berlaku. Ini membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah manusia biasa, tetapi seorang hamba Allah SWT yang terpilih untuk mendapat wahyu dan ilham daripadaNya. 

Nyatalah Al Quran merupakan mukjizat bagi seorang Rasul Terakhir, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., untuk seluruh manusia sepanjang zaman. 

Satu kekurangan yang agak jelas pada buku ini ialah gambar-gambar yang tidak mempunyai kapsyen dan tidak juga dijelaskan di dalam teks. 

Oleh kerana buku ini agak kompleks dan berilmiah, maka aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang. 

*********************************************************************************

Buku ini aku beli pada harga RM128.00; tetapi aku ingin menjualnya pada harga RM100.00 (penghantaran PERCUMA bagi Semenanjung Malaysia).