9 October 2020

Sedetik.doc (38/2020)

 



Tajuk : Sedetik.doc
Penulis : 51 penulis
Penerbit : Metromedia Solutions
Jumlah Halaman : 238
Harga : RM29.00



ULASAN 38/2020

Buku ini merupakan hadiah daripada Cikgu Maimunah, salah seorang rakan ghostwriter, yang kebetulannya seorang guru di sekolah anak-anakku.

Buku ini menampilkan seramai 51 orang penulis, yang berkongsi kisah kali pertama masing-masing. Latar belakang penulis juga berbagai-bagai. Ada penulis lama dan ada juga yang baru pertama kali menulis. Buku ini juga menarik kerana saiznya agak kecil 5in x 7.5in, kulitnya tebal dan mempunyai flap di hadapan dan belakangnya. Jarang aku melihat sebuah buku antologi yang mempunyai flap

Flap di kulit hadapan menyenaraikan nama-nama penulis, kerana pada isi kandungan hanya ditulis tajuk penulisan mereka sahaja. Flap di kulit belakang menunjukkan buku-buku di bawah penerbitan Metromedia Solutions. 





Kisah pertama kali, rasanya bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Kali pertama jatuh cinta, kali pertama putus cinta, kali pertama masuk sekolah, semuanya pernah kita semua alami. Ada juga yang telah mempunyai kisah kali pertama menimang cahaya mata, malah ada juga yang sudah pertama kali menerima menantu atau cucu, Ini semua, bagiku, kisah kali pertama yang biasa.

Namun, di dalam buku ini, kisah kali pertama merupakan kisah penulis dan tentunya setiap kisah itu berbeza. Menariknya, buku ini telah disusun sebegitu rupa sehingga tiada kisah kali pertama yang sama. Contohnya, tidak ada kisah kali pertama jatuh cinta yang berulang kali. Setiap penulis menulis kisah kali pertama yang berbeza.

Cikgu Maimunah, contohnya, berkongsi kisah kali pertama beliau menanam keazaman untuk menulis apa saja yang telah diilhamkan Tuhan kepadanya. Ini kisah kali pertama yang agak unik. Jarang aku baca mengenai seseorang yang masih ingat bila kali pertama dia menyimpan hasrat terhadap sesuatu. Selalunya kita ingat bila kita mula melakukannya. Itupun kadang-kadang tak ingat juga!

Selainnya, ada kisah pertama kali menjadi guru, pertama kali menunggang motosikal, pertama kali melihat kesan buruk akibat banjir besar, pertama kali mengenakan niqab, pertama kali naik bas bersendirian, pertama kali merantau menuntut ilmu, pertama kali membawa ibunya melancong ke London, pertama kali menunaikan Umrah, pertama kali ibu bapanya menghadiri majlis penyampaian hadiah ketika di sekolah rendah, pertama kali belajar menjahit baju dengan ibu, pertama kali menyertai aktiviti NGO di perkampungan orang asli dan pertama kali menghidap penyakit kencing manis (diabetes).

Ada juga kisah yang agak lucu kerana kali pertama menggunakan mesin mencuci pakaian. Yang melucukan, pengalaman pertamanya itu berlaku di rumah ibu mertuanya, kerana dia baharu saja mendirikan rumahtangga! Ada juga kisah seorang doktor baru yang pertama kali melihat darah yang banyak, lalu dia jatuh pengsan di dalam bilik pembedahan.

Agak menarik ialah kisah kali pertama menaiki kereta api di India, kononnya hendak merasa menaiki kereta api Chennai Express. Akhirnya penulis dan rakan-rakannya terpaksa berlari mengejar kereta api kerana koc mereka jauh ke hadapan. Malah ada beberapa rakannya yang tidak sempat akibat terjatuh. Mujurlah penjaga platform dapat meminta pemandu memperlahankan kereta api tersebut dan membantu rakan-rakannya naik. Dapatlah mereka berjumpa semula.

Agak menarik juga kisah mengenai penulis yang menceburkan diri dalam penulisan Haiku. Haiku ialah puisi Jepun yang mempunyai prinsip dan peraturan penulisan yang ketat. Penulis merupakan salah seorang pembimbing penulisan Haiku Melayu di Malaysia dan beliau telah menanam minat terhadap penulisan Haiku sejak tahun 2003. Inilah pertama kalinya aku tahu mengenai Haiku. 

Ada kisah mengenai pertemuannya buat pertama kali selepas 20 tahun tidak berjumpa dengan bapa saudara dan keluarganya, akibat dari persengketaan keluarga. Penulis menceritakan keadaan bila ayah dan bapa saudaranya bertemu semula selepas 20 tahun itu dan gaya penceritaannya amat menyentuh kalbu. Terharu dibuatnya.

Ada juga kisah kali pertama yang menyedihkan. Di antaranya ialah kisah penulis yang telah jatuh cinta dengan gadis menjual nasi lemak berhampiran pejabatnya, tetapi akhirnya beliau kecewa kerana gadis itu sudah bertunang dengan orang lain. Mungkin kerana dia lambat mengambil tindakan.  Sepatutnya dia mengambil iktibar dari lagu Jangan Tunggu Lama-Lama, nyanyian Ramil Sarip. 

Kisah yang paling menyedihkan bagiku ialah kisah penulis yang baru menerima adik ketiga, tetapi adiknya meninggal dunia hanya selepas lima hari dilahirkan. Gaya penceritaannya juga menyentuh hati, kerana ia ditulis seolah-olah penulis masih berusia 11 tahun, iaitu ketika peristiwa sedih itu berlaku.  

Ada juga kisah yang agak mendebarkan, yang berlaku kepada seorang penulis ketika beliau menuntut ilmu di Mesir. Ketika itu telah berlaku rusuhan besar apabila rakyat Mesir memberontak untuk menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Aku yang membaca tidak dapat membayangkan betapa gentingnya keadaan ketika itu, di mana semua penduduk diarahkan supaya duduk sahaja di rumah sewa masing-masing dan tidak dibenarkan keluar. Namun, penulis yang berdegil telah keluar dan telah dikejar oleh orang-orang Mesir yang sedang memberontak. Mujurlah beliau diselamatkan oleh seorang tua, yang menyuruhnya balik dengan segera.

Kisah yang meninggalkan kesan terhadap diriku kerana aku juga pernah mengalaminya ialah kisah tentang pertama kali dia menjaga ayahnya yang dimasukkan ke hospital. Penulis bergegas ke hospital setiap pagi sebelum ke tempat kerja dan datang semula selepas habis waktu kerja. Pengalamannya itu mengingatkan aku kepada waktu aku menjaga emak di KPJ Ampang Puteri. Selalunya aku akan tidur di wad, sebelah katil emak dan awal pagi aku akan bersiap untuk ke tempat kerja. Adikku akan datang menjaga emak sepanjang hari itu. Kemudian, selepas habis waktu kerja aku akan datang semula untuk bermalam lagi dengan emak.

Satu lagi kisah yang meninggalkan kesan terhadap diriku ialah mengenai kisah penulis yang kematian neneknya. Kisah itu mengingatkan aku kepada pengalaman aku sendiri, semasa nenekku (Wan) meninggal dunia di Kuantan. Ketika itu aku masih lagi belajar di ITM Shah Alam. Selepas Wan meninggal dunia, aku menangis hampir setiap malam kerana rindukan Wan. Masakan tidak, aku dilahirkan di rumah Wan, dijaga dan dibesarkan oleh Wan. Setiap malam aku tidur dengan Wan, sehinggalah kami berpindah ke rumah lain ketika aku berusia 10 tahun. Kisah kali pertama penulis mengalami kematian neneknya mengimbau semula kenangan-kenangan itu, kerana kematian Wan juga merupakan pengalamanku yang pertama berhadapan dengan kematian orang yang kusayang.

Membaca buku antologi seperti ini seolah-olah berhadapan dengan 51 orang yang bercerita tentang pengalaman kisah hidup masing-masing, dapat membuka minda kita bahawa setiap orang ada kisahnya yang tersendiri. Kisah hidup orang lain juga dapat memberikan kita kesedaran dan keinsafan supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Ada orang yang kisah hidupnya lebih susah daripada kita. 

Buku ini hanya sebuah bacaan ringan, bagiku. Maka aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang kerana susunannya menarik dan kisah-kisah di dalamnya juga sangat menarik. 





No comments:

Post a Comment