7 December 2020

Ajen Perisikan Cinta Bil 0, JunBug (51/2020)

 


Tajuk : Ajen Perisikan Cinta Bil.0, JunBug
Penulis : Pelbagai
Penerbit : Sand Freud Press, 2011
Jumlah Halaman : 63

ULASAN 51/2020.


Buku paling kecil dan paling nipis yang aku dah baca sepanjang tahun ini. Buku ini dipanggil zine iaitu sejenis kacukan antara buku dan majalah; kerap digunakan oleh penulisan alternatif. Oleh kerana itu, isi kandungan zine ini terdiri dari penulisan berbentuk alternatif.
 
Namun, penulis zine ini bukanlah calang-calang orang. Mereka ini terdiri dari nama-nama hebat di kalangan penulis Indie dan ada yang aku kenal pun melalui FB arwah Abang. Buku ini juga, tak silap aku, merupakan salah satu dari koleksi arwah.
 

Ada 10 orang penulis di dalam zine ini. Salah seorangnya, Mohd. Jayzuan, pernah aku tulis ulasan bukunya, Anarki di Kuala Lumpur, dalam Blog ini. Dalam zine ini dia menulis tentang Remy Bond yang telah membunuh bekas kekasihnya, Julia Coppola.

Yang Mimi Morticia dan Zubin Mohamad menulis puisi. Nik Adam Ahmad menulis certot (Ugh! Aku cukup tak suka nak sebut perkataan tu) – cerita kontot – tentang adrenalin yang mengalir laju hanya kerana ingin meluahkan perasaan terhadap seorang perempuan. Amar Amir menulis tentang Brett yang memerhatikan keadaan di luar tingkap biliknya di sebuah pekan bernama Chichester. Aku pun tak pernah dengar nama tempat tu. Cuma yang menariknya, ada 7E di sana!
 
Coretan Roslan Jomel merupakan coretan paling panjang dalam zine ini, mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai zuriat. Akhirnya, isterinya melahirkan sepasang kasut sebesar tiga inci. Agak tidak logik. Menariknya, kisah ini diakhiri dengan realiti bahawa dia sebenarnya sedang menulis untuk media, dengan harapan ianya akan diterbitkan walau dalam bentuk zine. Ironik, bukan?
 
Amran Rohaizat menulis tentang seorang wanita yang telah kehilangan Janji yang diberikan oleh suaminya. Wan Nor Azriq menulis tentang empat karakter pelakon yang akhirnya tiga dari mereka mati belaka. Fazleena Hishamuddin menulis tentang seorang lelaki yang asyik memerhatikan teman wanitanya menampal Road Tax baru pada cermin keretanya. Akhir sekali, Sufian Abas menulis dua certot mengisahkan tentang seseorang yang duduk di balkoni sambal menghirup kopi dan sebuah lagi tentang seseorang yang sedang memerhatikan hujan sambal duduk meriba kucing.
 
Gaya penulisan alternatif ini kadangkala mudah saja difahami, kadangkala pula perlu didalami untuk faham makna di sebaliknya. Buat masa ini, aku masih lagi belajar untuk memahami gaya penulisan ini.
 
Untuk zine kecil ini, aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang.



 
 
 
 
 
 
 
 

5 December 2020

Islam-Iman-Ihsan : Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi (50/2020)

 


Tajuk : Islam-Iman-Ihsan : Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi
Penulis : Sakinah Salleh
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd.
Jumlah Halaman : 128


ULASAN 50/2020.


Aku pernah kongsikan konsep 3i bersama dengan kakitangan di pejabatku suatu masa dahulu, dengan mengaitkannya dengan salah satu nilai murni syarikat iaitu Integriti. Perkataan Integriti mengandungi 3i dan di sinilah aku kaitkan ketiga-tiganya dengan Islam, Iman dan Ihsan. Dengan adanya ketiga-tiga unsur ini, maka wujudlah integriti di dalam diri seseorang. 

Melihat kepada tajuk buku ini, aku berasa amat teruja untuk membacanya. Buku ini agak nipis dan tulisannya juga mudah dibaca. Aku hanya mengambil masa selama 5 hari untuk menghabiskan pembacaan. 

Pada awalnya, penulis memberikan penjelasan umum tentang Islam, Iman dan Ihsan. Dia juga mengaitkan unsur-unsur ini dengan gejala-gejala negatif yang sedang berlaku pada zaman sekarang, akibat dari ketidakfahaman dan ketidakpatuhan terhadap Islam dan Iman. Beliau juga mengumpamakan 3i seperti garam, gula dan asam dalam sesuatu masakan. Jika kurang salah satunya, maka pincanglah rasa masakan tersebut. Begitulah juga dengan kehidupan ini. 

Seterusnya beliau mengaitkan pula 3i di dalam hubungan antara hamba dengan Penciptanya dan bagaimana kita sebagai hamba perlu mengenali diri. Persoalan ini akan terjawab apabila kita kenal siapa Pencipta kita. Konsep 3i yang luas pengertiannya ini seringkali difahami oleh kebanyakan orang sebagai tuntutan dalam Rukun Iman dan Rukun Islam sahaja, tidak di dalam urusan sehari-harian. Begitu pun, ramai yang tidak benar-benar menghayati kedua-dua rukun tersebut. 

Hakikatnya, konsep 3i ini jika dihayati dengan bersungguh-sungguh, akan memberikan ketenangan jiwa. Ia juga dapat mengelakkan kita daripada berasa cukup sempurna hingga membanding-bandingkan kebolehan diri dengan orang lain.

Selain itu, 3i juga wujud di dalam nilai-nilai murni seperti kejujuran, kesopanan, kebersihan, bertanggungjawab, hormat-menghormati, dan sebagainya. Tanpa penghayatan terhadap 3i, berlakulah kejadian pecah amanah, berleluasalah budaya rasuah, meningkatlah ketidakadilan dalam kepimpinan, dan sebagainya. Penghayatan konsep 3i juga akan dapat menerapkan sifat-sifat fardhu kifayah dalam diri setiap umat Islam, termasuklah dalam menggalas tugas berdakwah dan tidak menyerahkannya bulat-bulat kepada ulama dan ahli agama sahaja. 

Kejayaan hakiki dan abadi akan dapat dicapai apabila kita faham bahawa tujuan hidup kita hanyalah kerana Allah SWT dan tujuan kita ialah untuk kembali kepada-Nya. Kita juga perlu faham bahawa selain dari hubungan dengan Allah SWT, kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia. 

Matlamat hidup hendaklah disasarkan kepada mencari keredaan Allah SWT, dengan berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah agar kita dapat menggapai kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Oleh yang demikian, kita perlu ada strategi untuk mengimbangi kehidupan dunia dan tuntutan akhirat. Pengimbangan ini dipanggil “Wasatiyyah”. 

Kita juga perlu sentiasa persiapkan diri untuk menghadapi kematian, dengan melalui fasa-fasa penghijrahan supaya akhirnya kita menjadi manusia yang semakin dekat dengan Allah SWT lalu menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya.

Penulis mengakhiri buku ini dengan pesanan agar kita setiasa mencari dan mengharapkan hidayah dari Allah SWT. Kita juga dinasihatkan agar meletakkan cita-cita dan impian yang besar untuk mencapai kejayaan hakiki dan abadi. 

Maklumat di dalam buku ini agak padat. Namun, aku menghadapi masalah untuk faham apa yang hendak disampaikannya dan aku juga menghadapi kesukaran untuk mengaitkan isi kandungannya dengan tajuk buku dan juga tajuk-tajuk pada setiap bab. Pada pandangan aku, buku ini boleh dimantapkan lagi jika isi kandungannya lebih tersusun dan kena pada tajuk pada setiap bab. Mungkin kerana aku telah meletakkan jangkaan yang tinggi sebelum membaca, aku jadi sedikit kecewa kerana buku ini gagal memenuhi jangkaanku.

Pun begitu, ia sebuah buku yang menarik untuk dibaca sekadar untuk menambahkan pengetahuan. Maka aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang kepadanya.