Tajuk : Anarki di Kuala Lumpur
Penulis : Mohd. Jayzuan
Penerbit : Sang Freud Press, 2011
Jumlah Halaman : 80
ULASAN 44/2020.
Aku tak ingat dari mana datangnya buku ini. Boleh jadi aku beli, boleh
jadi juga peninggalan Abang. Yang pasti, ini sebuah buku aliran alternatif atau
lebih dikenal sebagai Indie. Sejujurnya, aku tidak begitu menggemari buku-buku genre ini. Tetapi aku baca juga, sekadar untuk mendapatkan perspektif berbeza.
Ia mengisahkan tentang seorang penyanyi kumpulan The Rats, sebuah
kumpulan muzik Punk. Namanya Syd Jamal. Kehidupannya sebagai seorang penyanyi
sebuah kumpulan muzik yang sudah mempunyai nama di arus perdana (bak kata
penulis), dia hanyut dengan dunianya. Dia bukan seorang yang suka
bermewah-mewah dan menunjukkan dia seorang penyanyi dari kumpulan yang
terkenal, kerana dia berkecimpung dalam arena muzik itu disebabkan oleh minatnya
yang mendalam.
Kebetulan penulis buku ini, Mohd. Jayzuan, juga merupakan seorang ahli
muzik ‘underground’ dan mempunyai band sendiri iaitu Free Love dan pernah mengeluarkan
beberapa EP dan dua buah album. Mungkin beliau dapat menggarap dengan baik
kisah kehidupan Syd Jamal berdasarkan kepada latar belakang beliau itu.
Tetapi hidup Syd Jamal hanya berlandaskan dua perkara – dadah dan
perempuan. Oleh kerana dia telah memiliki segalanya setelah The Rats menjadi
terkenal, maka wang bukanlah suatu masalah. Sungguhpun cara hidupnya bebas, dia
tetap menghargai semangat persahabatan yang wujud dalam kumpulannya. Malah dia
juga terkesan dengan sikap dua orang ‘kutu’ yang pernah rapat dengannya tetapi
kemudian menjauhkan diri dan mula membawa cerita-cerita buruk tentang dirinya.
Sebagai sebuah kumpulan muzik, mereka juga tahu tugas dan tanggungjawab
masing-masing walaupun masing-masing ‘junkie’, suka berparti sambil mabuk-mabuk
dan suka berpoya-poya dengan perempuan.
Namun, sebagai seorang manusia, Syd Jamal tidak dapat lari dari
mempunyai perasaan dan aku syak perasaannya memberontak setelah dia putus cinta
dengan bekas kekasihnya yang bernama Sue. Ilham yang diperolehi untuk menulis lagu
kebanyakannya berasal dari perasaan yang memberontak itu. Amarahnya, kecewanya,
dendamnya, terhadap seorang wanita bernama Sue.
Tidak lama kemudian dia bercinta pula dengan Anne. Walaupun Anne sudah
acapkali bertandang ke rumahnya, berparti dengan rakan-rakannya, tetapi bila
pertama kali dia berbual berdua sahaja dengan Anne dia dapat rasakan ada suatu
perasaan lain yang hinggap dalam hatinya. Sekali lagi, dia jatuh cinta.
Jika diikutkan pada urutan kisah Syd Jamal ini, sudah tentu kita akan menganggap
hidupnya lebih bermakna dan bahagia setelah kehadiran Anne untuk mengubati
hatinya yang luka. Sayangnya, dia telah mensia-siakan apa yang telah terhidang
di hadapannya dengan berpaling dan mengambil jalan yang salah. Dia berkenalan
dan bercinta pula dengan heroin. Kalau menurut ceritanya dia tegar dengan LSD dan
ganja, heroin telah menghancurkan seluruh kehidupannya. Rakan-rakannya telah
mengingatkan agar tidak mendekati dadah itu, tetapi dia degil. Kononnya dia
seorang yang boleh mengawal keadaan dan mampu mengawal dadah itu. Malangnya dia
tersilap langkah. Dia telah tersalah anggap terhadap heroin kerana sekali cuba
sahaja, dadah itu telah menguasai dirinya.
No comments:
Post a Comment