25 January 2021

Air Pasang Pagi (01/2021)

 


Tajuk : Air Pasang Pagi
Penulis : Tok Rimau & Fraja Beha
Penerbit : Dubook Press Sdn. Bhd., 2016
Jumlah Halaman : 118

ULASAN 01/2021.

Aku buat pesanan untuk membeli buku ini setelah aku membaca hantaran Fraja Beha di laman Facebook beliau dalam bulan November tahun lepas. Ketika itu, Dubook Press Sdn. Bhd. sedang rancak menjual buku-buku terbitan mereka secara lelongan setelah syarikat itu membuat keputusan untuk menutup operasi mereka. Mereka juga telah menyerahkan semula hak cipta kepada semua penulis. Pada kesempatan itu, aku membeli tiga buah buku ini. Salah satunya untuk aku sendiri.

    Mengenai penulis-penulis (sebetulnya, ilustrator) buku ini – Fraja Beha tidak begitu aku kenal, hanya pernah mendengar namanya sahaja. Dalam penerangan mengenai penulis & pelukis, di bawah nama Fraja Beha ditulis “Error 404. Maklumat tidak diperolehi.” Malah, tidak ada apa-apa maklumat pun mengenai latar belakangnya yang boleh diperolehi dalam Google. Sungguh berahsia orangnya. Tok Rimau pula hanya kukenal secara maya, melalui Facebook, dan aku tahu beliau seorang yang memang handal melukis.

    Buku ini merupakan sebuah travelog / memoir ketika mereka ke Pulau Mabul dalam tahun 2015 - 2016. Menurut kata Tok Rimah, buku ini disiapkan dalam tempoh 18 bulan dan sepanjang waktu itu, dia telah pergi ke Pulau Mabul sebanyak 3 kali. Mabul. Sebuah pulau kecil di Sabah. Kedudukan Pulau Mabul ni berhampiran dengan ‘bibir bawah’ peta Malaysia Timur yang bentuknya seperti seekor kucing itu. Lokasinya juga berhampiran dengan Pulau Sipadan. Pulau ini terletak dalam perairan Laut Celebes yang juga dikenal sebagai Laut Sulawesi.

    Travelog ini yang dipanggil “petualangan” oleh mereka, mengisahkan tentang pengalaman mereka ketika menyelam skuba di Laut Celebes, bergaul dengan Bajau Laut atau Sea Gypsies di sana dan juga kisah mereka mengambil lesen skuba.

 


    Apa yang menarik tentang buku ini selain dari pengalaman mereka ialah lakaran-lakaran yang menggambarkan apa yang diceritakan. Ujang yang menulis Prakata 1 menyebut bahawa lakaran mereka ringkas dan stroke mereka juga tidak berapa matang. Namun begitu, walaupun semua lakaran dibuat menggunakan dakwat hitam putih, aku sebagai pembaca masih dapat menggambarkan suasananya. Termasuklah pemandangan Bohey Dulang yang dilakar oleh Tok Rimau dalam halaman 19. Prakata 2 pula ditulis oleh Daniel Mahendra, penulis buku Perjalanan ke Atap Dunia yang berasal dari Indonesia. Katanya buku pertualangan ini santai dan penuh dengan jenaka namun tetap mempunyai mesej yang tersendiri. 

    Benar, buku ini ditulis dalam gaya bahasa yang mudah difahami. Seolah-olah mereka sedang bercerita secara bersemuka. Ada kalanya boleh membuatkan aku ketawa seorang diri. Selain dari itu, tarikan kepada buku ini ialah penceritaan yang dibuat dalam bentuk tulisan tangan. Tulisan tangan yang ‘sebiji-sebiji’ (bukan tulisan sambung / berangkai) memudahkan pembacaan.

    Tok Rimau menulis dan melakar pada bahagian pertama buku ini. Beliau menceritakan sedikit latar belakang mengenai Pulau Mabul sambil menyelitkan lakaran pemandangan resort yang mereka diami, kawasan perkampungan Bajau Laut dan rumah-rumah Bajau di pulau-pulau sekitarnya iaitu Pulau Selakan, Maiga, Sibuan dan Mantubaan. Kebanyakan dari rumah-rumah ini dibina di atas air. Rumah mereka kecil dan barang di dalamnya juga ringkas. Bak kata Tok Rimau, kalau mereka mempunyai banyak harta di dalam rumah itu, “susah mahu berangkut bila tiba masa untuk pindah.”

Lakaran yang dibuat oleh Tok Rimau merupakan koleksi petualangan beliau ke Mabul sebanyak 3 kali. Bermula dengan hanya snorkeling di permukaan air, dia kemudiannya mencuba Discovery Scuba Dive (DSD) dan akhirnya mengambil lesen skuba. Maka dalam beberapa halaman diceritakan dan dilakarkan tentang proses pembelajarannya termasuk ketika membaca buku Open Water Diving dan pengalamannya ketika mula-mula berada di dalam laut.

Aku juga tertarik dengan kata-kata hikmat Tok Rimau:


“Di laut ini aku pelajari betapa sedikit seorang insan perlu, 
bukan betapa banyak.” 
– Tok Rimau 24/12/15

 

Bermula pada halaman 62, Fraja Beha pula menulis dan melakar pengalamannya. Beliau telah menjejakkan kaki ke Pulau Mabul buat pertama kalinya dalam tahun 2014. Sama seperti Tok Rimau, Fraja mengisahkan tentang pengalaman beliau ke Mabul sebanyak 3 kali.

    Tetapi, berbeza dengan Tok Rimau, Fraja lebih banyak menulis dari melakar. Namun, gaya penulisannya yang bersahaja menjadikan ia sebuah pembacaan yang menyeronokkan. Beliau juga memberi serba-sedikit penerangan mengenai kehidupan etnik Bajau di sana, terutamanya mengenai anak-anak Bajau Darat yang bebas ke sana ke sini dan tanpa segan-silu meminta wang daripadanya. Malah, ada juga yang berani merampas beg duit daripada tangannya.

    Mabul terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampung Mabul dan Kampung Musu, manakala penduduknya pula terbahagi kepada kaum Suluk dan Bajau. Sebagai penduduk pulau, sudah tentulah hasil laut merupakan punca pendapatan utama mereka. Menurut cerita Fraja, hasil laut di sini murah-murah. 

    Fraja juga tidak ketinggalan menulis tentang pengalaman beliau ketika mengambil lesen PADI Open Water Course bersama dengan kawan-kawannya, yang diajar oleh seorang dive instructor bernama Radzuan Ismail. Buku ini akhiri dengan kata-kata semangat dari Fraja untuk kita semua pergi menyelam. Katanya: 


If we wait until we are ready, we’ll be waiting for the rest of our lives. Now, go dive!”


Memandangkan buku ini bacaan ringan yang mempunyai unsur-unsur seni dan sarat dengan maklumat, maka aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang. 

Sesiapa yang ingin memiliki buku ini, aku ada dua yang baharu. Siapa cepat, dia dapat!






17 January 2021

134R4NG (52/2020)

 


Tajuk : 134R4NG
Penulis : Firdaus Zolkifli
Penerbit : Cakcibor Creative, 2016
Jumlah Halaman : 132


ULASAN 52/2020.

Buku ni aku habis baca pada 4 Januari 2021. Maka sepatutnya ia menjadi buku pertama yang aku habiskan dalam tahun 2021. Aku mula membacanya pada 15 Disember 2020. Kononnya aku boleh habiskan dalam tempoh seminggu, iaitu pada atau sebelum 30 Disember.

Malangnya, pada 18 Disember 2020 aku mula mengembara ke utara bersama anak-anak. Kemudian berlaku beberapa insiden di sana yang menyebabkan aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembacaan. Hingga akhirnya aku dapat fokus semula setelah aku kembali ke KL pada 2 Januari.

Bunyinya seperti aku beralasan kerana ingin memenuhi objektif 52 buah buku bagi tahun 2020. Tetapi, memang selayaknya buku ini menjadi penutup kepada pembacaanku dalam tahun 2020. Oleh kerana itu, aku melabelkan ulasan ini sebagai Ulasan 52/2020.

Buku ini dihadiahkan oleh En. Zulkifli Zulkarnain kepadaku. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati amal kebaikannya.

Ia sebuah buku yang kecil, bersaiz 12.5cm x 17.5cm. Ia mengandungi 15 cerita pendek tulisan Firdaus Zolkifli. Lebih kurang sama konsepnya dengan buku Agen Perisikan Cinta Bil. 0, JunBug. Baca di sini.

Cerita-cerita dalam buku 134R4NG ini tidaklah terlalu berat untuk dihadamkan. Namun, ada beberapa cerita yang menerobos benak fikiran. Contohnya seperti Ali Atan, Hero Yang Resah; Pengalaman Cuti Sekolah; dan Air Mata Ubi. Ada juga cerita yang menusuk kalbu (deep) seperti Soalan; Abang Burger; Pelacur I dan Pelacur II; Abah dan Angkasawan; dan Karangan yang membuatkan aku termangu seketika selepas membacanya.



Malah ada juga cerita yang kelakar (bukan lawak) seperti Mat Kasan Abang Bunga; Tahi; Ibu; Mimpi I dan Mimpi II. Cerita yang kita anggap seperti biasa tetapi telah digarap dengan sebegitu indah hingga tidak dapat diteka apakah pengakhirannya. 
Cerita yang paling sadis dalam buku ini tentulah Asam Pedas, yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang panasaran kerana ditinggalkan kekasih hatinya.

Walaupun buku ini sebuah bacaan santai, ia tetap mencabar minda. Oleh itu aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang.