Tajuk : Air Pasang Pagi
Penulis : Tok Rimau & Fraja Beha
Penerbit : Dubook Press Sdn. Bhd., 2016
Jumlah Halaman : 118
ULASAN 01/2021.
Aku buat pesanan untuk membeli buku ini setelah aku membaca hantaran
Fraja Beha di laman Facebook beliau dalam bulan November tahun lepas. Ketika
itu, Dubook Press Sdn. Bhd. sedang rancak menjual buku-buku terbitan mereka
secara lelongan setelah syarikat itu membuat keputusan untuk menutup operasi
mereka. Mereka juga telah menyerahkan semula hak cipta kepada semua penulis. Pada
kesempatan itu, aku membeli tiga buah buku ini. Salah satunya untuk aku sendiri.
Mengenai penulis-penulis (sebetulnya, ilustrator) buku ini – Fraja Beha tidak begitu aku kenal, hanya pernah mendengar namanya sahaja. Dalam penerangan mengenai penulis & pelukis, di bawah nama Fraja Beha ditulis “Error 404. Maklumat tidak diperolehi.” Malah, tidak ada apa-apa maklumat pun mengenai latar belakangnya yang boleh diperolehi dalam Google. Sungguh berahsia orangnya. Tok Rimau pula hanya kukenal secara maya, melalui Facebook, dan aku tahu beliau seorang yang memang handal melukis.
Buku ini merupakan sebuah travelog / memoir ketika mereka ke Pulau Mabul dalam tahun 2015 - 2016. Menurut kata Tok Rimah, buku ini disiapkan dalam tempoh 18 bulan dan sepanjang waktu itu, dia telah pergi ke Pulau Mabul sebanyak 3 kali. Mabul. Sebuah pulau kecil di Sabah. Kedudukan Pulau Mabul ni berhampiran dengan ‘bibir bawah’ peta Malaysia Timur yang bentuknya seperti seekor kucing itu. Lokasinya juga berhampiran dengan Pulau Sipadan. Pulau ini terletak dalam perairan Laut Celebes yang juga dikenal sebagai Laut Sulawesi.
Travelog ini yang dipanggil “petualangan” oleh mereka, mengisahkan tentang pengalaman mereka ketika menyelam skuba di Laut Celebes, bergaul dengan Bajau Laut atau Sea Gypsies di sana dan juga kisah mereka mengambil lesen skuba.
Apa yang menarik tentang buku ini selain dari pengalaman mereka ialah lakaran-lakaran yang menggambarkan apa yang diceritakan. Ujang yang menulis Prakata 1 menyebut bahawa lakaran mereka ringkas dan stroke mereka juga tidak berapa matang. Namun begitu, walaupun semua lakaran dibuat menggunakan dakwat hitam putih, aku sebagai pembaca masih dapat menggambarkan suasananya. Termasuklah pemandangan Bohey Dulang yang dilakar oleh Tok Rimau dalam halaman 19. Prakata 2 pula ditulis oleh Daniel Mahendra, penulis buku Perjalanan ke Atap Dunia yang berasal dari Indonesia. Katanya buku pertualangan ini santai dan penuh dengan jenaka namun tetap mempunyai mesej yang tersendiri.
Benar, buku ini ditulis dalam gaya bahasa yang mudah difahami. Seolah-olah mereka sedang bercerita secara bersemuka. Ada kalanya boleh membuatkan aku ketawa seorang diri. Selain dari itu, tarikan kepada buku ini ialah penceritaan yang dibuat dalam bentuk tulisan tangan. Tulisan tangan yang ‘sebiji-sebiji’ (bukan tulisan sambung / berangkai) memudahkan pembacaan.
Tok Rimau menulis dan melakar pada bahagian pertama buku ini. Beliau menceritakan sedikit latar belakang mengenai Pulau Mabul sambil menyelitkan lakaran pemandangan resort yang mereka diami, kawasan perkampungan Bajau Laut dan rumah-rumah Bajau di pulau-pulau sekitarnya iaitu Pulau Selakan, Maiga, Sibuan dan Mantubaan. Kebanyakan dari rumah-rumah ini dibina di atas air. Rumah mereka kecil dan barang di dalamnya juga ringkas. Bak kata Tok Rimau, kalau mereka mempunyai banyak harta di dalam rumah itu, “susah mahu berangkut bila tiba masa untuk pindah.”
Lakaran yang dibuat oleh Tok Rimau merupakan koleksi petualangan beliau ke Mabul sebanyak 3 kali. Bermula dengan hanya snorkeling di permukaan air, dia kemudiannya mencuba Discovery Scuba Dive (DSD) dan akhirnya mengambil lesen skuba. Maka dalam beberapa halaman diceritakan dan dilakarkan tentang proses pembelajarannya termasuk ketika membaca buku Open Water Diving dan pengalamannya ketika mula-mula berada di dalam laut.
Aku juga tertarik dengan kata-kata hikmat Tok Rimau:
bukan betapa banyak.”
– Tok Rimau 24/12/15
Bermula pada halaman 62, Fraja Beha pula menulis dan melakar pengalamannya. Beliau telah menjejakkan kaki ke Pulau Mabul buat pertama kalinya dalam tahun 2014. Sama seperti Tok Rimau, Fraja mengisahkan tentang pengalaman beliau ke Mabul sebanyak 3 kali.
Tetapi, berbeza dengan Tok Rimau, Fraja lebih banyak menulis dari melakar. Namun, gaya penulisannya yang bersahaja menjadikan ia sebuah pembacaan yang menyeronokkan. Beliau juga memberi serba-sedikit penerangan mengenai kehidupan etnik Bajau di sana, terutamanya mengenai anak-anak Bajau Darat yang bebas ke sana ke sini dan tanpa segan-silu meminta wang daripadanya. Malah, ada juga yang berani merampas beg duit daripada tangannya.
Mabul terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampung Mabul dan Kampung Musu, manakala penduduknya pula terbahagi kepada kaum Suluk dan Bajau. Sebagai penduduk pulau, sudah tentulah hasil laut merupakan punca pendapatan utama mereka. Menurut cerita Fraja, hasil laut di sini murah-murah.
Fraja juga tidak ketinggalan menulis tentang pengalaman beliau ketika mengambil lesen PADI Open Water Course bersama dengan kawan-kawannya, yang diajar oleh seorang dive instructor bernama Radzuan Ismail. Buku ini akhiri dengan kata-kata semangat dari Fraja untuk kita semua pergi menyelam. Katanya:
Memandangkan buku ini bacaan ringan yang mempunyai unsur-unsur seni dan sarat dengan maklumat, maka aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang.
Sesiapa yang ingin memiliki buku ini, aku ada dua yang baharu. Siapa cepat, dia dapat!
No comments:
Post a Comment