7 December 2020

Ajen Perisikan Cinta Bil 0, JunBug (51/2020)

 


Tajuk : Ajen Perisikan Cinta Bil.0, JunBug
Penulis : Pelbagai
Penerbit : Sand Freud Press, 2011
Jumlah Halaman : 63

ULASAN 51/2020.


Buku paling kecil dan paling nipis yang aku dah baca sepanjang tahun ini. Buku ini dipanggil zine iaitu sejenis kacukan antara buku dan majalah; kerap digunakan oleh penulisan alternatif. Oleh kerana itu, isi kandungan zine ini terdiri dari penulisan berbentuk alternatif.
 
Namun, penulis zine ini bukanlah calang-calang orang. Mereka ini terdiri dari nama-nama hebat di kalangan penulis Indie dan ada yang aku kenal pun melalui FB arwah Abang. Buku ini juga, tak silap aku, merupakan salah satu dari koleksi arwah.
 

Ada 10 orang penulis di dalam zine ini. Salah seorangnya, Mohd. Jayzuan, pernah aku tulis ulasan bukunya, Anarki di Kuala Lumpur, dalam Blog ini. Dalam zine ini dia menulis tentang Remy Bond yang telah membunuh bekas kekasihnya, Julia Coppola.

Yang Mimi Morticia dan Zubin Mohamad menulis puisi. Nik Adam Ahmad menulis certot (Ugh! Aku cukup tak suka nak sebut perkataan tu) – cerita kontot – tentang adrenalin yang mengalir laju hanya kerana ingin meluahkan perasaan terhadap seorang perempuan. Amar Amir menulis tentang Brett yang memerhatikan keadaan di luar tingkap biliknya di sebuah pekan bernama Chichester. Aku pun tak pernah dengar nama tempat tu. Cuma yang menariknya, ada 7E di sana!
 
Coretan Roslan Jomel merupakan coretan paling panjang dalam zine ini, mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai zuriat. Akhirnya, isterinya melahirkan sepasang kasut sebesar tiga inci. Agak tidak logik. Menariknya, kisah ini diakhiri dengan realiti bahawa dia sebenarnya sedang menulis untuk media, dengan harapan ianya akan diterbitkan walau dalam bentuk zine. Ironik, bukan?
 
Amran Rohaizat menulis tentang seorang wanita yang telah kehilangan Janji yang diberikan oleh suaminya. Wan Nor Azriq menulis tentang empat karakter pelakon yang akhirnya tiga dari mereka mati belaka. Fazleena Hishamuddin menulis tentang seorang lelaki yang asyik memerhatikan teman wanitanya menampal Road Tax baru pada cermin keretanya. Akhir sekali, Sufian Abas menulis dua certot mengisahkan tentang seseorang yang duduk di balkoni sambal menghirup kopi dan sebuah lagi tentang seseorang yang sedang memerhatikan hujan sambal duduk meriba kucing.
 
Gaya penulisan alternatif ini kadangkala mudah saja difahami, kadangkala pula perlu didalami untuk faham makna di sebaliknya. Buat masa ini, aku masih lagi belajar untuk memahami gaya penulisan ini.
 
Untuk zine kecil ini, aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang.



 
 
 
 
 
 
 
 

5 December 2020

Islam-Iman-Ihsan : Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi (50/2020)

 


Tajuk : Islam-Iman-Ihsan : Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi
Penulis : Sakinah Salleh
Penerbit : PTS Millenia Sdn. Bhd.
Jumlah Halaman : 128


ULASAN 50/2020.


Aku pernah kongsikan konsep 3i bersama dengan kakitangan di pejabatku suatu masa dahulu, dengan mengaitkannya dengan salah satu nilai murni syarikat iaitu Integriti. Perkataan Integriti mengandungi 3i dan di sinilah aku kaitkan ketiga-tiganya dengan Islam, Iman dan Ihsan. Dengan adanya ketiga-tiga unsur ini, maka wujudlah integriti di dalam diri seseorang. 

Melihat kepada tajuk buku ini, aku berasa amat teruja untuk membacanya. Buku ini agak nipis dan tulisannya juga mudah dibaca. Aku hanya mengambil masa selama 5 hari untuk menghabiskan pembacaan. 

Pada awalnya, penulis memberikan penjelasan umum tentang Islam, Iman dan Ihsan. Dia juga mengaitkan unsur-unsur ini dengan gejala-gejala negatif yang sedang berlaku pada zaman sekarang, akibat dari ketidakfahaman dan ketidakpatuhan terhadap Islam dan Iman. Beliau juga mengumpamakan 3i seperti garam, gula dan asam dalam sesuatu masakan. Jika kurang salah satunya, maka pincanglah rasa masakan tersebut. Begitulah juga dengan kehidupan ini. 

Seterusnya beliau mengaitkan pula 3i di dalam hubungan antara hamba dengan Penciptanya dan bagaimana kita sebagai hamba perlu mengenali diri. Persoalan ini akan terjawab apabila kita kenal siapa Pencipta kita. Konsep 3i yang luas pengertiannya ini seringkali difahami oleh kebanyakan orang sebagai tuntutan dalam Rukun Iman dan Rukun Islam sahaja, tidak di dalam urusan sehari-harian. Begitu pun, ramai yang tidak benar-benar menghayati kedua-dua rukun tersebut. 

Hakikatnya, konsep 3i ini jika dihayati dengan bersungguh-sungguh, akan memberikan ketenangan jiwa. Ia juga dapat mengelakkan kita daripada berasa cukup sempurna hingga membanding-bandingkan kebolehan diri dengan orang lain.

Selain itu, 3i juga wujud di dalam nilai-nilai murni seperti kejujuran, kesopanan, kebersihan, bertanggungjawab, hormat-menghormati, dan sebagainya. Tanpa penghayatan terhadap 3i, berlakulah kejadian pecah amanah, berleluasalah budaya rasuah, meningkatlah ketidakadilan dalam kepimpinan, dan sebagainya. Penghayatan konsep 3i juga akan dapat menerapkan sifat-sifat fardhu kifayah dalam diri setiap umat Islam, termasuklah dalam menggalas tugas berdakwah dan tidak menyerahkannya bulat-bulat kepada ulama dan ahli agama sahaja. 

Kejayaan hakiki dan abadi akan dapat dicapai apabila kita faham bahawa tujuan hidup kita hanyalah kerana Allah SWT dan tujuan kita ialah untuk kembali kepada-Nya. Kita juga perlu faham bahawa selain dari hubungan dengan Allah SWT, kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia. 

Matlamat hidup hendaklah disasarkan kepada mencari keredaan Allah SWT, dengan berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah agar kita dapat menggapai kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Oleh yang demikian, kita perlu ada strategi untuk mengimbangi kehidupan dunia dan tuntutan akhirat. Pengimbangan ini dipanggil “Wasatiyyah”. 

Kita juga perlu sentiasa persiapkan diri untuk menghadapi kematian, dengan melalui fasa-fasa penghijrahan supaya akhirnya kita menjadi manusia yang semakin dekat dengan Allah SWT lalu menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya.

Penulis mengakhiri buku ini dengan pesanan agar kita setiasa mencari dan mengharapkan hidayah dari Allah SWT. Kita juga dinasihatkan agar meletakkan cita-cita dan impian yang besar untuk mencapai kejayaan hakiki dan abadi. 

Maklumat di dalam buku ini agak padat. Namun, aku menghadapi masalah untuk faham apa yang hendak disampaikannya dan aku juga menghadapi kesukaran untuk mengaitkan isi kandungannya dengan tajuk buku dan juga tajuk-tajuk pada setiap bab. Pada pandangan aku, buku ini boleh dimantapkan lagi jika isi kandungannya lebih tersusun dan kena pada tajuk pada setiap bab. Mungkin kerana aku telah meletakkan jangkaan yang tinggi sebelum membaca, aku jadi sedikit kecewa kerana buku ini gagal memenuhi jangkaanku.

Pun begitu, ia sebuah buku yang menarik untuk dibaca sekadar untuk menambahkan pengetahuan. Maka aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang kepadanya.

 



 


27 November 2020

Global Dream Ride 3 - Andai Ini Takdir Yang Kupilih (49/2020)

 


Tajuk : Global Dream Ride (Siri 3)
Penulis : Anita Yusof
Penerbit : Anita Yusof, 2020
Jumlah Halaman : 311


ULASAN 49/2020.


Ini buku ke-3 dalam siri Global Dream Ride – Andai Ini Takdir Yang Kupilih oleh Anita Yusof. Siri pertama diterbitkan dalam tahun 2017, Siri 2 (2019) dan Siri 3 (2020). Siri 3 ini lebih berkualiti daripada Siri 1 & 2 dari segi material yang digunakan. Kali ini dia menggunakan kertas glossy berwarna, menjadikan pembacaan seolah-olah membaca majalah.
 
Buku-bukunya juga semakin lama semakin tebal. Siri 1 hanya 198 halaman, manakala Siri 2 pula setebal 210 halaman dan Siri 3 ini yang paling tebal. Namun, aku tidak berasa bosan langsung membaca buku tebal ini kerana gaya bahasa yang digunakan oleh Anita sangat santai. Seolah-olah dia berada di hadapanku, menceritakan pengalamannya. Aku mengambil masa hanya tiga hari untuk menghabiskannya.
 


Global Dream Ride atau lebih dikenal sebagai GDR bermula dengan Siri 1 pada 11 September 2015. Anita telah membawa aku terbang dari Kuala Lumpur ke Seattle dan kemudian dari Seattle ke Kanada, hingga ke Alaska; dan kembali semula ke Seattle, lalu meneruskan perjalanan ke San Diego. Dalam Siri 2, aku dibawa pula dari Seattle ke Baja California dan mengembara melalui Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica ke Panama. Di Panama, beliau cross-over ke Cartagena, Colombia menaiki bot. Sebuah pengalaman yang penuh dengan debaran ketika melalui negara-negara yang terkenal dengan penggunaan senjata api yang berleluasa.
 
Dalam Siri 3 ini, rupanya pengembaraan Anita menjadi lebih mencabar. Bukan sahaja atas faktor keselamatan, tetapi dia juga terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca yang sejuk dan jalan raya yang tidak elok sehingga menyebabkan motornya jatuh tergolek beberapa kali.




Pengembaraan kali ini bermula dari Cartagena, Colombia tanggal 16 Disember 2015. Beliau merentas Ecuador, Llamaha (disebut “Ya-ma-ha”), Bolivia dan Chile, hingga berakhir di Buenos Aires, Argentina pada 3 Mac 2016. Di Buenos Aires, beliau menerbangkan GD (nama yang diberikan kepada motosikalnya) ke London. 

Dalam siri kali ini, Anita telah bermurah hati berkongsi banyak gambar menarik di sepanjang pengembaraannya. Oleh kerana itulah, pembacaan buku ini tidak membosankan! Malah, ia penuh dengan perasaan teruja untuk mengetahui apa kisah selanjutnya.
 
Di sebalik kisah-kisah yang mendebarkan, sempat juga Anita berlawak dengan gaya bahasanya yang tersendiri. Agak kelakar membaca reaksinya apabila beliau diajar makan Churros buat pertama kali di Peru, sehingga Churros sudah menjadi makanan kegemarannya. Kelakar juga apabila beliau menceritakan bagaimana terujanya dia ketika pertama kali terserempak dengan llama dan alpaca di Chile. Seronoknya seperti anak kecil yang baru pertama kali mendapat teddy bear. Kemudian, hasratnya untuk bertemu dengan guanaco  sejenis llama juga, telah menjadi kenyataan ketika beliau berada di Bolivia.
 
Paling kelakar aku rasa bila dia menggambarkan keadaannya dikejar anjing ketika ride di Bolivia. Katanya mungkin kerana anjing-anjing itu menyangkakan dia tulang, kerana badannya telah menjadi sangat kurus akibat terpaksa mencatu makanan.

 
Dalam pada itu, terselit juga perasaan dukalara beliau tatkala mengenangkan masa silamnya, terutama kisah rumahtangga yang telah runtuh. Aku turut bersedih dengan perasaannya ketika itu. Sudahlah jauh bersendirian di perantauan, apabila mendapat berita yang menyentuh hati, tentulah perasaan sedih itu berkali ganda hebatnya.
 
Selain itu, beliau juga terpaksa berhadapan dengan cabaran mental yang lain seperti komen-komen mengeji dan mengkritik di laman sosial beliau, orang tempatan yang mengambil kesempatan terhadap kesusahannya dan juga orang yang tidak mahu membantu ketika diperlukan.
 
Namun begitu, terdapat juga momen-momen yang mengharukan berlaku kepadanya, terutama dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh orang-orang dari Kedutaan Malaysia di Lima dan di Buenos Aires. Beliau juga telah ditemani oleh rakan rider lain di beberapa tempat, terutamanya yang bernama Tim. Walaupun mereka tidak menunggang bersama, tetapi Tim akan menunggu Anita di beberapa tempat atau mengejarnya dari belakang.
 
Ketika mereka berpisah di Calama, dia sempat berpesan agar Anita menyebut namanya di dalam buku yang bakal ditulis kerana dia juga sebahagian dari sejarah yang telah dicipta oleh Anita – “If you ever write a book, don’t forget to mention my name. I am part of the history, too”.
 
Antara cabaran fizikal yang dihadapi oleh Anita di sepanjang pengembaraan di benua Amerika Selatan ini ialah keadaan jalan raya dan juga tiupan angin kencang. Katanya tiupan angin yang tidak boleh diramalkan berlaku akibat pertembungan angin dari Lautan Pasifik dan angin dari pergunungan Andes. Ketika beliau sedang menunggang di pergunungan Andes, beliau telah melalui sebuah kawasan yang diliputi kabus tebal yang membataskan penglihatannya hingga sejauh 5 meter sahaja. Selain itu, beliau juga perlu menyesuaikan diri dengan ketinggian kawasan pergunungan itu agar tidak terkena Altitude Mountain Sickness (AMS).
 
Dalam Siri 3 ini juga Anita menceritakan tentang beberapa impiannya sejak kecil yang telah menjadi kenyataan. Beliau telah berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya sampai ke titik paling selatan dunia (Southern-most tip of the world) iaitu di Ushuaia. Beliau juga telah dapat pergi ke Machu Picchu, melihat lukisan geoglif di Nazca dan juga merasai sendiri pengalaman berada di atas Salt Flat di Uyuni.


 
Machu Picchu merupakan sebuah kawasan peninggalan kaum Inca yang terkenal dengan jolokan The Lost City of Inca. Perjalanannya ke sana telah diuji dengan pelbagai jenis ujian, termasuklah perlu berjalan kaki sejauh 10km untuk ke Aguas, sebuah pekan yang paling hampir dengan Machu Picchu. Di pekan ini pengunjung perlu mendapatkan cop pada passport untuk membeli tiket ke Machu Picchu.
 
Kalau hendak tahu lebih lanjut mengenai Machu Picchu, boleh baca di sini: https://whc.unesco.org/en/list/274/
 
Salt Falt pula merupakan sebuah kawasan padang berkeluasan 10000km persegi. Kawasan itu kelihatan seperti sebuah tasik yang besar, cuma ‘airnya’ adalah garam. Lapisan garam di bahagian tengah Salt Flat ini dianggarkan setebal 10m. Ketika musim hujan, kawasan ini akan digenangi air hingga menjadikannya seperti cermin sehingga kelihatan seolah-olah bumi dan langit bersatu dan turut dikenal sebagai ‘World’s Largest Natural Mirror’. Di sini juga terdapat sebuah kawasan yang dipanggil “Cementerio de Trenes” iaitu perkuburan kereta api, di mana lokomotif kereta api yang sudah tidak digunakan ditinggalkan begitu sahaja.


 
Kalian boleh baca tentang Salt Flat di sini: https://en.wikipedia.org/wiki/Salar_de_Uyuni
 
Aku berasa agak terharu apabila dia menceritakan bahawa lawatannya untuk melihat geoglifs di Nazca itu telah ditaja oleh seseorang yang pernah menjadi hosnya ketika di Nicaragua, manakala kunjungan ke Machu Picchu pula ditaja oleh seorang rakan dari sekolahnya. Seringkali disebut di dalam buku ini, bagaimana doa seorang musafir itu sangat mustajab. Mungkin inilah juga antara doa-doa Anita yang telah dimakbulkan Tuhan.
 
Beliau juga telah mengunjungi Salt Mountain Range di San Pedro, Atacama, di mana bukit-bukit yang terdapat di situ dibentuk sepenuhnya daripada garam. Salah satu tempat menarik yang dikongsikannya ialah Moon Valley atau Valle de La Luna, yang terletak kira-kira 10km daripada San Pedro. Moon Valley ini mempunyai bentuk rupa bumi seperti di permukaan bulan dan gambar-gambarnya boleh dilihat pada halaman 175 – 181. Memang menakjubkan!
 
Boleh baca lanjut mengenai Moon Valley di sini: https://en.wikipedia.org/wiki/Valle_de_la_Luna_(Chile)
 
Selain itu, berlaku suatu kejadian yang di luar jangkaan apabila beliau telah ditipu ketika berada di Riobamba. Duit yang hendak dikeluarkannya dari ATM berjumlah USD600 rupanya telah ‘disedut’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sedangkan duit itu tidak langsung keluar dari mesin tersebut. Perkara ini hanya diketahui olehnya beberapa hari kemudian, apabila beliau menerima makluman secara online dari pihak bank. Kejadian seumpama ini kerap juga berlaku di Malaysia dan kita memang sentiasa perlu berhati-hati dengan peranti yang mencurigakan di mesin-mesin ATM. Namun, USD600 itu suatu jumlah yang agak besar dan kehilangannya boleh menjadikan kita juga hilang akal. Apatah lagi bagi seorang pengembara di bumi asing, seperti Anita. 
 
Kejadian yang paling menakutkannya berlaku ketika beliau menunggang di kawasan Gurun Atacama. Akibat dari tiupan angin kencang, beliau tidak dapat mengawal motosikalnya dengan baik sehingga beliau hampir saja dilanggar sebuah trak panjang. 
 
Sepanjang pembacaan ini, aku turut mengalirkan airmata sebanyak empat kali. Pertama, ketika beliau sampai di Ushuaia. Kedua, ketika beliau mengucapkan selamat tinggal kepada GD sebelum motosikalnya itu dibungkus untuk penerbangan ke London. Ketiga, ketika Duta Besar Malaysia di Buenos Aires mengatakan bahawa beliau tahu mengenai kesusahan Anita untuk sampai ke situ kerana beliau mengikuti perkembangannya di Facebook. Keempat, ketika beliau bermonolog di lapangan terbang Buenos Aires, sementara menunggu penerbangan ke London.
 
Membaca kisah pengembaraan seperti ini mungkin akan menjadikan kita juga teruja untuk melakukannya dan mungkin juga kelihatan seperti mudah. Namun, aku yakin, banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum dan juga semasa pengembaraan. Contohnya bagaimana beliau telah membuat tempahan awal untuk bilik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong manakala di tempat lain beliau hanya perlu mencari hostel sahaja. Beliau juga membuat research tentang stesen minyak di sepanjang jalan yang akan dilaluinya. Malah, ada juga stesen minyak yang tidak menjual petrol kepada orang asing. Jika ada, dia perlu menunjukkan passport dan maklumatnya akan dimasukkan ke dalam sistem komputer. Alangkah bagusnya kalau sistem yang sama dapat diaplikasikan di Malaysia, agar tiada pihak yang menyalahgunakan petrol subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan. 

Beliau juga mempunyai network overlander yang baik, kerana ramai yang memberikan tips kepadanya mengenai tempat-tempat yang akan dilaluinya. 
 
Terima kasih di atas perkongsian yang berharga ini, Kak Anita. Harap-harap akan ada GDR 4 pula selepas ini.

Disebabkan buku ni memang layan, aku beri LIMA 🌟🌟🌟🌟🌟 bintang! 
 



21 November 2020

How to Lead When Your Boss Can't (or Won't) (48/2020)

 


Title : How to Lead When Your Boss Can’t (or Won’t)
Author : John C. Maxwell
Publisher : HarperCollins Leadership, 2005
No. of Pages : 149
 

REVIEW 48/2020.


I like the anatomy of this book. It is a palm-sized book with a hardcover and not too thick. It took me about one month to finish reading it.
 
John C. Maxwell needs no introduction. He is one of the modern-days’ management and leadership guru. He is the #1 New York Times Bestselling Author. He is also a coach and speaker. He has incredibly sold thirty million books in fifty languages!
 
This book, How to Lead When Your Boss Can’t (or Won’t) takes a different perspective to leadership. Most of the leadership books talk about how to become a good leader in the top-down perspective. On the contrary, this book looks at leadership from bottom-up. Most interestingly, it looks at how an employee can lead himself and his team in the absence or lack of his own boss’ leadership. It also looks at how an employee can become a good support to the boss.
 
What would happen when you work under a boss who does not want to lead or cannot lead?
 
Among others, the team would go astray, the objectives of the company would not be achieved and staff’s morale would be low. In Malay, there is a proverb to this scenario: “Like the chicks (baby chickens) who lost their mother”.  A bad boss could also become toxic for the company when he/she does not support the vision of the company and at the same time sabotage it or ignore it while pursuing their own agendas.
 
John has listed down the characteristics of a bad boss and the effects that he/she has on an employee. In this book, John provides measures on how an employee can help himself and others in his team to move forward when they report to a bad boss. Following are the topics that he shared in this book, which I find very realistic and doable:
 
1. Self-manage yourself in terms of your emotions, time, priorities, energy, thinking and also personal life.
2. Maintain a great attitude with one thing in mind and that is “I can make a difference”.
3. Ways on how to work with the boss.
4. Get to know the boss.
5. Support the boss.
6. Develop your own influence.
7. Strengthen your own position by doing what you are supposed to be doing and to continue growing / improving yourself.
 
Another point that I find as an exceptionally good advice to all employees is to avoid office politics. By that, he means avoiding gossips at the office, not taking sides, be right rather than be popular and take everything into considerations before deciding on something.   
 
The main point in this book is not to be disappointed by having a boss who is not performing or who refuse to perform as the leader. My principle in these kinds of scenario is to do whatever I can as long as I can get the job done and achieve the objectives or goals provided by the management. It is also important to have the mindset that we cannot control what others think and do, but we can control what think and the actions that we take.
 
Therefore, to become an exceptionally productive employee by developing our potentials for future leadership, I would suggest you read this book. Regardless whether you have a bad boss or a good one.
 
I rate this book as FIVE 🌟🌟🌟🌟🌟 stars. 





20 November 2020

Di Pinggulmu Ada Bulan (47/2020)

 


Tajuk : Di Pinggulmu Ada Bulan
Penulis : Hadi Jaafar
Penerbit : Sang Freud Press, 2015
Jumlah Halaman : 143


ULASAN 47/2020.


Buku ini sudah lama berada di dalam simpananku. Tarikh pembeliannya 13 April 2015. Baru sekarang aku dapat membacanya. 

Ini merupakan sebuah buku puisi, juga keluaran Sang Freud Press. Kemungkinan besar aku telah membelinya juga daripada Aloy Paradoks. Saiznya kecil - 11cm x 18cm sahaja. Mudah hendak dibawa ke mana-mana. Malah, mungkin muat jika hendak dimasukkan ke dalam poket belakang seluar jeans. Cuma, aku sekarang tidak boleh lagi memakai seluar jeans. Jadi, aku tidak tahu sama ada teori aku itu benar atau tidak. 

Aku cuma ada sedikit ulasan sahaja mengenai buku ini:

Aku tidak faham isi kandungannya! 

Bait-bait puisi yang ditulis oleh Hadi Jaafar ini pada aku terlalu tinggi untuk aku fahami. Aku tidak dapat mengagak apa sebenarnya yang hendak diluahkan, walaupun setelah beberapa kali kuulang. Tambahan pula puisi yang ditulis ada berbagai-bagai bentuk dan rupa. Dalam sebuah puisi, ada beberapa maksud yang tersirat. 

Pada halaman penerbit ada ditulis "Hak cipta terpelihara. Kecuali petikan-petikan pendek untuk ulasan di media massa...". Namun, aku tidak mahu mengulas lanjut mengenai buku ini kerana khuatir aku akan mencacatkan keunikan dan kehalusannya. 

Maka, jika kamu hendak tahu tentang puisi-puisi yang ditulis di dalam buku ini, silakanlah membelinya. 

Untuk itu, aku memberikan 4 🌟🌟🌟🌟 bintang kepada buku ini. 










 


10 November 2020

Sepucuk Pistol Di Dalam Laci (46/2020)


 


Tajuk : Sepucuk Pistol Di Dalam Laci
Penulis : Hadi M. Nor
Penerbit : Sang Freud Press, 2012
Jumlah Halaman : 148


ULASAN 46/2020.


Baru aku ingat, buku-buku Indie ni aku beli daripada Aloy Paradoks, ketika dia mengadakan Jualan suatu masa dahulu. Ada beberapa buah juga yang aku beli daripadanya. Kesemua buku keluaran penerbitan beliau bersaiz kecil dan jumlah halamannya tidak lebih 200. Mudah dibaca dan dibawa kemana-mana.

Buku Sepucuk Pistol Di Dalam Laci ini merupakan sebuah himpunan cerita-cerita pendek oleh Hadi M. Nor. Namun, ada beberapa cerita yang berkait antara satu dengan lain menjadikan ia sebuah pembacaan yang menyeronokkan. Tambahan pula apabila sambungannya bukan betul-betul selepas cerita pertama. Ada yang berselang dua, tiga cerita. Ini menyebabkan aku membelek semula halaman sebelumnya untuk ingat semula kisah yang mula-mula tadi.

Keras perut aku ketawa sambil mengalir airmata dengan cerita-cerita yang ditulis ini. Gaya bahasanya santai dan jalan ceritanya juga mudah. Itu yang menyebabkan cerita-ceritanya mudah dihadam.

Ada cerita yang berlaku di luar negara, seperti kisah Pemburuang (Pemburu Beruang) yang berlatarbelakangkan negara Jepun dan Hujan Emas yang berlatarbelakangkan negara Perancis. Ada juga cerita yang direka seperti Setan, Bintang Hijau dan Malam Tanpa Bulan. Sebenarnya, semua cerita dalam buku ini direka. Maksud aku, cerita dalam buku ini bukanlah kisah benar. Tetapi, memang semuanya pun bukan kisah benar. Okay, aku give up! Aku harap anda semua boleh faham apa yang aku cuba sampaikan.

Kisah Pemburuang berakhir dengan kesedihan. Pada awalnya ia agak lucu. “Yamamoto Heikechi adalah nama ayah aku. Panggil aku Yamamoto Heikechi.” Boleh faham lawaknya? Yamamoto menukar fikiran untuk memburu seekor beruang yang dipanggil Kesagake setelah dia terkencing dalam seluar akibat mabuk sake. Melucukan juga apabila seorang kapten polis bernama Suga menunjuk lagak kepada orang-orang kampung, kemudiannya ditolak keluar oleh mereka agar dia ikut serta si Pemburuang. Rupanya kapten polis itu seorang penakut!

Cerita Bintang Hijau buat aku ketawa sampai mengalirkan airmata. Sudah lama aku tak membaca cerita kelakar begitu. Ceritanya pendek sahaja, cuma tiga halaman. Mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Daniel yang menjadi angkasawan. Apabila dia disuruh mengetatkan skru roket, dia terlupa hendak mengikat badannya kepada kapal angkasa tersebut. Maka berterbanganlah dia di angkasa, sehingga dia berjumpa dengan sebuah Bintang Hijau yang boleh bercakap.

Kebanyakan karakter dalam cerita-cerita ini merupakan sesuatu yang tidak hidup, tetapi boleh bercakap. Bintang hijau ini salah satunya. Ada juga seekor kucing yang boleh bercakap dan sebenarnya dia adalah seorang bomoh yang telah disumpah. Ada juga seekor burung gagak yang boleh bercakap, bernama Sanolo dan dia sebenarnya seekor jin. Sanolo telah membeli jiwa seorang perempuan dan menukarkannya menjadi lelaki, supaya dia boleh berkahwin dengan seorang gadis pujaan hatinya. Tetapi, setelah perjanjian setan mereka tamat, ‘lelaki’ itu kembali bertukar menjadi wanita dan mati di atas katil, sebelah ‘isterinya’.

Ada juga cerita mengenai sekumpulan samseng yang bergaduh dengan kumpulan samseng lain untuk merebutkan sebuah gerai yang menjual mi goreng pada harga RM3. Kumpulan samseng tersebut namanya Punai dan bila mereka bersemangat, mereka menjerit “Punai tak akan mengecut, Punai kita kuat!” hingga menyebabkan seorang makcik yang duduk berhampiran menutup telinga anak perempuannya. Nama ahli geng Punai semuanya nama samaran belaka, kecuali Wahab kerana Wahab tak kreatif. Kelakarnya apabila geng Punai menyuruh Wahab untuk menembak Ketua Geng Garuda semata-mata kerana Wahab tak hensem!

Kisah tentang Tok Isa dan Saka bersambung-sambung dengan kisah Sebentuk Pusaka 1 dan Sebentuk Pusaka 2. Manakala Sebentuk Pusaka 2 pula mempunyai kaitan dengan kisah Istana Kres yang telah diceritakan sebelum Sebentuk Pusaka 1. Saka Tok Isa digambarkan sebagai seorang lelaki yang berambut panjang, suka hisap rokok dan bermain gitar. Kerjanya yang hakiki ialah menjaga dusun durian Tok Isa. Tetapi, apabila dipanggil, dia boleh terbang ke mana sahaja Tok Isa berada. Cuma yang agak melucukan apabila si Saka tiba di sebuah rumah, dia mengetuk pintu. Sedangkan pada hakikatnya dia boleh tembus dinding.

Perjanjian Sanolo 1 bersambung dengan Perjanjian Sanolo 2. Karakter Sanolo turut ada dalam kisah Menuju Muara yang merupakan sebuah kisah berlainan sama sekali.

Tidak kesemua ceritanya berbentuk humor. Ada juga yang berbentuk thriller seperti Istana Kres, yang mengisahkan tentang istana seorang puteri bunian di tengah-tengah sebuah pulau. Kisah Keganasan Pendekar Gajah pula merupakan sebuah kisah mistik bagaimana seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman oleh seorang Raja dengan mencampakkannya ke dalam laut dengan kaki terikat pada rantai besi. Lelaki itu juga telah disumpah oleh Raja tersebut agar dia boleh bernafas dalam air. Kononnya agar dia mati secara perlahan-lahan sambil daging dan kulitnya dimakan ikan dan hidupan lain di dalam laut hingga tubuhnya hanya tinggal rangka sahaja. Dia terlepas setelah berlaku sebuah gempa bumi. Setelah berjaya naik ke darat, dia membalas dendam terhadap Raja tersebut dan menyarung kulit Raja itu.

Satu lagi kisah yang agak misteri ialah Sumpahan Orang Putih. Ia mengisahkan seorang lelaki yang akan bertukar menjadi seorang lelaki ‘Mat Salleh’ bernama Jimmy yang suka mencari gadis cantik untuk ditiduri. Ironinya, kisah ini diakhiri pula dengan perspektif Jimmy yang tinggal di London tetapi akan bertukar menjadi seorang lelaki Melayu pada setiap malam Sabtu. Tidak dinyatakan bagaimana sumpahan itu boleh berlaku. Tajuk buku ini diambil dari kisah ini.

Terdapat tiga kisah yang sangat pendek, iaitu Kala Jengking Gergasi, Kebetulan! dan Pantai Bau Macam Ikan. Kisah-kisah ini panjangnya (atau pendeknya?) hanya dua halaman sahaja. Namun, tetap memberikan kisah yang menarik.

Aku kira kreativiti Hadi M. Nor terletak pada keupayaannya untuk menulis kisah yang berangkai walaupun kisah itu tiada kaitan antara satu dengan lain dan juga kepandaiannya menulis kisah yang pendek, dipanggil certot (cerita kontot) namun masih mempunyai makna dan plot tertentu.

Buku seperti ini aku boleh layan. Ia mengimbau semula zaman komik Gila-Gila suatu masa dahulu yang sentiasa menghidangkan cerita-cerita lawak yang memang kelakar. Jadi, aku beri buku ini LIMA 🌟🌟🌟🌟🌟 bintang!





7 November 2020

Anarki di Kuala Lumpur (44/2020)


 

Tajuk : Anarki di Kuala Lumpur
Penulis : Mohd. Jayzuan
Penerbit : Sang Freud Press, 2011
Jumlah Halaman : 80


ULASAN 44/2020.


Aku tak ingat dari mana datangnya buku ini. Boleh jadi aku beli, boleh jadi juga peninggalan Abang. Yang pasti, ini sebuah buku aliran alternatif atau lebih dikenal sebagai Indie. Sejujurnya, aku tidak begitu menggemari buku-buku genre ini. Tetapi aku baca juga, sekadar untuk mendapatkan perspektif berbeza. 
 
Ia mengisahkan tentang seorang penyanyi kumpulan The Rats, sebuah kumpulan muzik Punk. Namanya Syd Jamal. Kehidupannya sebagai seorang penyanyi sebuah kumpulan muzik yang sudah mempunyai nama di arus perdana (bak kata penulis), dia hanyut dengan dunianya. Dia bukan seorang yang suka bermewah-mewah dan menunjukkan dia seorang penyanyi dari kumpulan yang terkenal, kerana dia berkecimpung dalam arena muzik itu disebabkan oleh minatnya yang mendalam.
 
Kebetulan penulis buku ini, Mohd. Jayzuan, juga merupakan seorang ahli muzik ‘underground’ dan mempunyai band sendiri iaitu Free Love dan pernah mengeluarkan beberapa EP dan dua buah album. Mungkin beliau dapat menggarap dengan baik kisah kehidupan Syd Jamal berdasarkan kepada latar belakang beliau itu.
 
Tetapi hidup Syd Jamal hanya berlandaskan dua perkara – dadah dan perempuan. Oleh kerana dia telah memiliki segalanya setelah The Rats menjadi terkenal, maka wang bukanlah suatu masalah. Sungguhpun cara hidupnya bebas, dia tetap menghargai semangat persahabatan yang wujud dalam kumpulannya. Malah dia juga terkesan dengan sikap dua orang ‘kutu’ yang pernah rapat dengannya tetapi kemudian menjauhkan diri dan mula membawa cerita-cerita buruk tentang dirinya. Sebagai sebuah kumpulan muzik, mereka juga tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing walaupun masing-masing ‘junkie’, suka berparti sambil mabuk-mabuk dan suka berpoya-poya dengan perempuan.  
 
Namun, sebagai seorang manusia, Syd Jamal tidak dapat lari dari mempunyai perasaan dan aku syak perasaannya memberontak setelah dia putus cinta dengan bekas kekasihnya yang bernama Sue. Ilham yang diperolehi untuk menulis lagu kebanyakannya berasal dari perasaan yang memberontak itu. Amarahnya, kecewanya, dendamnya, terhadap seorang wanita bernama Sue.
 
Tidak lama kemudian dia bercinta pula dengan Anne. Walaupun Anne sudah acapkali bertandang ke rumahnya, berparti dengan rakan-rakannya, tetapi bila pertama kali dia berbual berdua sahaja dengan Anne dia dapat rasakan ada suatu perasaan lain yang hinggap dalam hatinya. Sekali lagi, dia jatuh cinta.
 
Jika diikutkan pada urutan kisah Syd Jamal ini, sudah tentu kita akan menganggap hidupnya lebih bermakna dan bahagia setelah kehadiran Anne untuk mengubati hatinya yang luka. Sayangnya, dia telah mensia-siakan apa yang telah terhidang di hadapannya dengan berpaling dan mengambil jalan yang salah. Dia berkenalan dan bercinta pula dengan heroin. Kalau menurut ceritanya dia tegar dengan LSD dan ganja, heroin telah menghancurkan seluruh kehidupannya. Rakan-rakannya telah mengingatkan agar tidak mendekati dadah itu, tetapi dia degil. Kononnya dia seorang yang boleh mengawal keadaan dan mampu mengawal dadah itu. Malangnya dia tersilap langkah. Dia telah tersalah anggap terhadap heroin kerana sekali cuba sahaja, dadah itu telah menguasai dirinya.
 


Walaupun buku ini hanya setebal 80 halaman, jalan ceritanya padat. Pada halaman penerbit sudah dimaklumkan “buku ini hanya layak untuk dimiliki oleh minda matang sahaja”. Nyatalah! Ceritanya penuh dengan adegan-adegan yang tidak selayaknya dibaca oleh budak bawah umur. Buku ini hanya layak untuk kategori S18 sahaja. Namun ia bukanlah sebuah buku biru (blue) atau x-rated. Adegan-adegan itu hanya untuk menguatkan jalan cerita mengenai kehidupan bebas Syd Jamal.
 
Seperti yang telah aku nyatakan di atas, penulisan Indie bukanlah kegemaran aku. Cuma apa yang suka dengan genre ini ialah ketelusan dalam penulisannya. Walaupun bahasanya kasar dan seringkali lucah. Gaya bahasa dalam buku ini sangat mengingatkan aku kepada arwah Abang kerana arwah juga sering menggunakan gaya bahasa yang serupa. Malah ada beberapa patah perkataan dalam buku ini yang sering digunakan olehnya, iaitu manada (mana ada) dan meh (mari). Ditambah dengan fakta bahawa dia salah seorang dari pengasas genre Indie, maka aku yakin, sedikit-sebanyak penulisan buku ini dipengaruhi oleh pemikirannya juga.
 
Mungkin ya, mungkin tidak. Mungkin ia cuma perasaan aku sahaja. Mungkin juga aku berhalusinasi.
 
Walaupun buku ini santai, tetapi ia mengandungi mesej yang padat tentang kehidupan - apa kiblat kita dan siapa sahabat kita. Maka aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang untuk buku ini.