Tajuk : Sepucuk Pistol Di Dalam Laci
Penulis : Hadi M. Nor
Penerbit : Sang Freud Press, 2012
Jumlah Halaman : 148
ULASAN 46/2020.
Baru aku ingat, buku-buku Indie ni aku beli daripada Aloy Paradoks,
ketika dia mengadakan Jualan suatu masa dahulu. Ada beberapa buah juga yang aku
beli daripadanya. Kesemua buku keluaran penerbitan beliau bersaiz kecil dan
jumlah halamannya tidak lebih 200. Mudah dibaca dan dibawa kemana-mana.
Buku Sepucuk Pistol Di Dalam Laci ini merupakan sebuah himpunan cerita-cerita pendek oleh Hadi M. Nor. Namun, ada beberapa cerita yang berkait antara satu dengan lain menjadikan ia sebuah pembacaan yang menyeronokkan. Tambahan pula apabila sambungannya bukan betul-betul selepas cerita pertama. Ada yang berselang dua, tiga cerita. Ini menyebabkan aku membelek semula halaman sebelumnya untuk ingat semula kisah yang mula-mula tadi.
Keras perut aku ketawa sambil mengalir airmata dengan cerita-cerita yang ditulis ini. Gaya bahasanya santai dan jalan ceritanya juga mudah. Itu yang menyebabkan cerita-ceritanya mudah dihadam.
Ada cerita yang berlaku di luar negara, seperti kisah Pemburuang (Pemburu Beruang) yang berlatarbelakangkan negara Jepun dan Hujan Emas yang berlatarbelakangkan negara Perancis. Ada juga cerita yang direka seperti Setan, Bintang Hijau dan Malam Tanpa Bulan. Sebenarnya, semua cerita dalam buku ini direka. Maksud aku, cerita dalam buku ini bukanlah kisah benar. Tetapi, memang semuanya pun bukan kisah benar. Okay, aku give up! Aku harap anda semua boleh faham apa yang aku cuba sampaikan.
Kisah Pemburuang berakhir dengan kesedihan. Pada awalnya ia agak lucu. “Yamamoto Heikechi adalah nama ayah aku. Panggil aku Yamamoto Heikechi.” Boleh faham lawaknya? Yamamoto menukar fikiran untuk memburu seekor beruang yang dipanggil Kesagake setelah dia terkencing dalam seluar akibat mabuk sake. Melucukan juga apabila seorang kapten polis bernama Suga menunjuk lagak kepada orang-orang kampung, kemudiannya ditolak keluar oleh mereka agar dia ikut serta si Pemburuang. Rupanya kapten polis itu seorang penakut!
Cerita Bintang Hijau buat aku ketawa sampai mengalirkan airmata. Sudah lama aku tak membaca cerita kelakar begitu. Ceritanya pendek sahaja, cuma tiga halaman. Mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Daniel yang menjadi angkasawan. Apabila dia disuruh mengetatkan skru roket, dia terlupa hendak mengikat badannya kepada kapal angkasa tersebut. Maka berterbanganlah dia di angkasa, sehingga dia berjumpa dengan sebuah Bintang Hijau yang boleh bercakap.
Kebanyakan karakter dalam cerita-cerita ini merupakan sesuatu yang tidak hidup, tetapi boleh bercakap. Bintang hijau ini salah satunya. Ada juga seekor kucing yang boleh bercakap dan sebenarnya dia adalah seorang bomoh yang telah disumpah. Ada juga seekor burung gagak yang boleh bercakap, bernama Sanolo dan dia sebenarnya seekor jin. Sanolo telah membeli jiwa seorang perempuan dan menukarkannya menjadi lelaki, supaya dia boleh berkahwin dengan seorang gadis pujaan hatinya. Tetapi, setelah perjanjian setan mereka tamat, ‘lelaki’ itu kembali bertukar menjadi wanita dan mati di atas katil, sebelah ‘isterinya’.
Ada juga cerita mengenai sekumpulan samseng yang bergaduh dengan kumpulan samseng lain untuk merebutkan sebuah gerai yang menjual mi goreng pada harga RM3. Kumpulan samseng tersebut namanya Punai dan bila mereka bersemangat, mereka menjerit “Punai tak akan mengecut, Punai kita kuat!” hingga menyebabkan seorang makcik yang duduk berhampiran menutup telinga anak perempuannya. Nama ahli geng Punai semuanya nama samaran belaka, kecuali Wahab kerana Wahab tak kreatif. Kelakarnya apabila geng Punai menyuruh Wahab untuk menembak Ketua Geng Garuda semata-mata kerana Wahab tak hensem!
Kisah tentang Tok Isa dan Saka bersambung-sambung dengan kisah Sebentuk Pusaka 1 dan Sebentuk Pusaka 2. Manakala Sebentuk Pusaka 2 pula mempunyai kaitan dengan kisah Istana Kres yang telah diceritakan sebelum Sebentuk Pusaka 1. Saka Tok Isa digambarkan sebagai seorang lelaki yang berambut panjang, suka hisap rokok dan bermain gitar. Kerjanya yang hakiki ialah menjaga dusun durian Tok Isa. Tetapi, apabila dipanggil, dia boleh terbang ke mana sahaja Tok Isa berada. Cuma yang agak melucukan apabila si Saka tiba di sebuah rumah, dia mengetuk pintu. Sedangkan pada hakikatnya dia boleh tembus dinding.
Perjanjian Sanolo 1 bersambung dengan Perjanjian Sanolo 2. Karakter Sanolo turut ada dalam kisah Menuju Muara yang merupakan sebuah kisah berlainan sama sekali.
Tidak kesemua ceritanya berbentuk humor. Ada juga yang berbentuk thriller seperti Istana Kres, yang mengisahkan tentang istana seorang puteri bunian di tengah-tengah sebuah pulau. Kisah Keganasan Pendekar Gajah pula merupakan sebuah kisah mistik bagaimana seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman oleh seorang Raja dengan mencampakkannya ke dalam laut dengan kaki terikat pada rantai besi. Lelaki itu juga telah disumpah oleh Raja tersebut agar dia boleh bernafas dalam air. Kononnya agar dia mati secara perlahan-lahan sambil daging dan kulitnya dimakan ikan dan hidupan lain di dalam laut hingga tubuhnya hanya tinggal rangka sahaja. Dia terlepas setelah berlaku sebuah gempa bumi. Setelah berjaya naik ke darat, dia membalas dendam terhadap Raja tersebut dan menyarung kulit Raja itu.
Satu lagi kisah yang agak misteri ialah Sumpahan Orang Putih. Ia mengisahkan seorang lelaki yang akan bertukar menjadi seorang lelaki ‘Mat Salleh’ bernama Jimmy yang suka mencari gadis cantik untuk ditiduri. Ironinya, kisah ini diakhiri pula dengan perspektif Jimmy yang tinggal di London tetapi akan bertukar menjadi seorang lelaki Melayu pada setiap malam Sabtu. Tidak dinyatakan bagaimana sumpahan itu boleh berlaku. Tajuk buku ini diambil dari kisah ini.
Terdapat tiga kisah yang sangat pendek, iaitu Kala Jengking Gergasi, Kebetulan! dan Pantai Bau Macam Ikan. Kisah-kisah ini panjangnya (atau pendeknya?) hanya dua halaman sahaja. Namun, tetap memberikan kisah yang menarik.
Aku kira kreativiti Hadi M. Nor terletak pada keupayaannya untuk menulis kisah yang berangkai walaupun kisah itu tiada kaitan antara satu dengan lain dan juga kepandaiannya menulis kisah yang pendek, dipanggil certot (cerita kontot) namun masih mempunyai makna dan plot tertentu.
Buku seperti ini aku boleh layan. Ia mengimbau semula zaman komik Gila-Gila suatu masa dahulu yang sentiasa menghidangkan cerita-cerita lawak yang memang kelakar. Jadi, aku beri buku ini LIMA 🌟🌟🌟🌟🌟 bintang!
No comments:
Post a Comment