Tajuk : Verdict
Penulis : Abdul Rahim Awang
Penerbit : Creative Enterprise Sdn. Bhd., 1993
Jumlah Halaman : 151
ULASAN 09/2021
Aku terima buku ini daripada seorang sahabat yang memperolehinya pula
dari jiran yang sudah berpindah. Oleh kerana banyak buku ditinggalkan, maka
jirannya itu menyuruh sahabat aku mengambil buku-buku itu untuk diagih-agihkan.
Agak ironik kerana aku macam pernah memiliki buku ini, tetapi sudah hilang dari simpanan. Bukanlah maksudku buku ini. Cuma tajuk sahaja. Suatu masa dahulu, buku-buku keluaran Creative Enterprise Sdn. Bhd. memang tidak pernah tidak aku beli.
Verdict menceritakan tentang proses kehakiman yang sedang berlangsung, melibatkan seorang wanita bernama Aminah (Amy) yang telah menuduh seorang lelaki, Azizol, telah merogolnya. Amy yang ketika itu sudah bertunang dengan Saiful terpaksa membatalkan perkahwinannya kerana kejadian malang itu berlaku pada malam sebelum mereka diijabkabulkan.
Konflik di dalam novel ini bukanlah dalam prosiding itu sendiri, tetapi kemelut yang dihadapi oleh Saiful tentang siapa yang benar dan siapa yang bersalah dalam hal ini. Azizol yang merupakan sahabatnya sejak kecil mengatakan bahawa dia telah didorong oleh Amy. Sebaliknya, Amy pula mengatakan bahawa Azizol yang memaksa.
Penulis juga menggambarkan perasaan Amy yang malu dengan pendedahan kes itu (kerana telah disuruh oleh Saiful membuat laporan polis), kecewa tidak dapat meneruskan perkahwinannya dengan Siaful kerana berasakan dirinya sudah ‘kotor’ dan marah terhadap Azizol dan juga peguam belanya kerana bijak memutarbelitkan keterangan. Tidak banyak yang digambarkan mengenai Azizol, melainkan sewaktu Saiful pergi berjumpa dengannya ketika dia dibebaskan dengan jaminan.
Jika anda mengharapkan suatu keputusan dari prosiding mahkamah itu, anda tentu akan berasa kecewa. Novel ini tidak mempunyai closed ending. Novel ini diakhiri dengan prosiding yang ditangguhkan sementara mahkamah membuat keputusan (verdict) dalam tempoh dua minggu.
Dalam masa yang sama, pembaca ditinggalkan dengan persoalan mengenai masa depan Amy dan Saiful. Amy masih bertegas tidak mahu menerima Saiful kembali dalam hidupnya. Dia berasakan bahawa hidupnya akan sentiasa dihantui kisah hitam itu. Manakala Saiful pula telah mula dapat menerima hakikat bahawa tunangnya Amy tidak bersalah dan sahabatnya Azizol yang bersalah, walaupun mahkamah belum menjatuhkan hukuman kerana verdict mahkamah tidak penting lagi baginya.
Penulis agak teliti dalam penceritaannya dan mampu memainkan emosi pembaca dengan berteka-teki siapakah yang bersalah dalam kes ini. Beliau juga telah menggarap cara prosiding di mahkamah dengan agak baik melalui soal balas saksi oleh pendakwa raya dan peguam bela hingga dapat dirasakan bahawa peguam bela itu seorang yang licik dalam memutarbelitkan keterangan saksi.
Aku berikan TIGA πππ bintang untuk novel ini.