20 February 2021

Sungai Mekong (Mekong River) - 05/2021

 

Tajuk : Sungai Mekong – Mekong River
Penulis : Latiff Mohidin
Penerbit : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, 2012
Jumlah Halaman : 81


ULASAN 05/2021.


Aku terserempak dengan buku ini ketika merayau-rayau di dalam kedai buku ITBM dalam tahun 2018. Selama ini aku hanya kenal Latiff Mohidin sebagai seorang pelukis. Tidak aku tahu bahawa beliau juga seorang penyair.

Buku ini merupakan kompilasi puisi beliau yang telah diterjemahkan oleh Mansor Ahmad Saman. Aku mula membaca buku ini dalam tahun 2019. Namun, dek kerana tidak konsisten, maka aku mengambil masa selama 2 tahun untuk menghabiskan pembacaan buku setebal 81 halaman ini.

Bukanlah kerana ianya buku yang nipis (secara purata, buku paling nipis yang aku baca mempunyai 100 halaman) maka aku perlu menghabiskannya dalam sekejap masa. Tidak. Buku ini suatu khazanah sastera yang perlu aku hadam. Walaupun 36 puisi yang terkandung di dalamnya merupakan puisi-puisi pendek, namun sesetengahnya tetap memberikan suatu mesej yang tersembunyi, yang memerlukan sedikit usaha untuk berfikir. Ada yang aku faham dan ada juga yang aku tidak faham.

Contohnya dalam puisi Sungai Mekong pada halaman 4 yang petikannya berbunyi :

kulihat di dasarmu

kuntun-kuntuman berdarah

batu-batu luka…

Aku tahu ada sesuatu yang dimaksudkan dengan “kuntum-kuntuman berdarah” dan “batu-batu luka” itu. Tetapi aku tidak tahu apa sebenarnya.

Dalam puisi Serigala begitu juga:

dari dadanya melompat

seekor serigala

darah mengalir di kakinya

perut terbuka

mata buta

Apakah yang dimaksudkan dengan “serigala” itu. Adakah ia sebuah metafora terhadap sebuah situasi atau keadaan hidup?

Untuk memahami maksud di sebalik puisi yang asal sudah agak berat rasanya, apatah lagi hendak memahamkan terjemahannya. Secara amnya aku berasakan puisi-puisi ini telah diterjemahkan dengan begitu baik. Tetapi, ada beberapa perkataan yang aku fikir ada terjemahan yang lebih baik.

Contohnya dalam puisi Tiada Daun Yang Gugur, pada baris kedua terakhir disebut “mencari dan menanti..angin, tak kembali” diterjemahkan sebagai “looking and waiting…” Pada aku ia lebih baik kalau diterjemahkan sebagai “searching and waiting…” yang lebih puitis bunyinya.

Begitu juga perkataan “berlarian ke perut ibu” dalam puisi Lalang Terbakar yang diterjemahkan sebagai “run back to their mother’s womb”. Aku fikir terjemahan yang lebih baik ialah “running to their mothers’ womb.”

Dalam puisi Perpisahan, perkataan “yang merentak” diterjemahkan kepada “that wrench”. Petikan puisinya berbunyi begini:

Perpisahan

adalah jarimu

yang merentak

bersama ombak

Apa yang dapat aku fahamkan di sini maksudnya jari itu bergerak atau mengikut rentak alunan ombak. Maka sebaiknya ia diterjemahkan kepada “that rhymes…”. Atau mungkin merentak telah disalahtafsirkan sebagai merentap. Wallahu’alam.

Walau bagaimana pun, penterjemah di dalam catatannya mengakui bahawa menterjemah karya kreatif bukanlah mudah dan beliau juga sudah berjumpa dengan penyairnya, mungkin untuk lebih memahami apa yang tersirat dan tersurat di sebalik bait-bait puisinya ini. Maka usaha ini harus diberikan penghargaan yang sewajarnya.

Maka aku berikan buku ini TIGA 🌟🌟🌟 bintang.   



No comments:

Post a Comment