20 February 2021

Nama Beta Sultan Alauddin (06/2021)

 


Tajuk : Nama Beta Sultan Alauddin
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Dubook Press Sdn. Bhd., 2016
Jumlah Halaman : 109

ULASAN 06/2021

Sudah agak kerap juga aku dengar nama Faisal Tehrani, namun belum pernah berkesempatan membaca karya-karyanya, walaupun beberapa naskhah sudah kumiliki. Buku Nama Beta Sultan Alauddin ini menjadi buku pertama Faisal Tehrani yang aku sudah baca. Tahniah kepada diriku sendiri!

Buku ini hanya sebuah bacaan santai yang mengisahkan tentang sejarah Sultan Melaka yang bergelar Sultan Alauddin atau nama asalnya Raja Husain. Kisah ini diceritakan melalu seorang datuk yang bercerita kepada tiga orang cucunya yang pulang ke kampung.

Kisah bagaimana Raja Husain pernah dianiayai oleh abang kandungnya sendiri, yang berlainan ibu, bernama Raja Ahmad. Kemudian bagaimana Raja Husain mula mempelajari pencak silat dengan seorang tua di Pulau Besar yang bernama Khidir dan seterusnya, setelah beliau kembali ke istana, beliau mempelajari pula ilmu tasawuf dengan seorang guru yang berasal dari Negeri China bernama Nuh Ha Mim. Dalam buku ini turut diceritakan bagaimana Raja Husain telah diduga oleh Nuh Ha Mim dengan tujuh jenis benda yang tidak terlalu berharga, yang semuanya bermula dengan huruf sin (huruf S). Agak menarik juga benda-benda ini, kerana aku juga tidak pernah mendengar namanya, apatah lagi melihatnya.

Raja Husain juga telah diduga oleh Nuh Ha Mim untuk membina sebuah kereta lembu. Setelah siap, mereka pun menaiki kenderaan itu. Tetapi, tidak lama kemudian ianya jatuh ke bawah bukit lalu pecah berderai. Maka menjadi marahlah Raja Husain kerana kemalangan itu berlaku akibat dari kecuaian Nuh Ha Mim. Padahal pengajaran daripada kejadian itu berbalik kepada manusia yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui dan manusia pula, apabila tidak patuh kepada suruhan Allah SWT tentu akan padahlah jawabnya. Begitu juga dengan tugas dan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan yang berbeza-beza, kerana Allah SWT telah menetapkannya sedemikian rupa.

Sultan Mansur Syah yang kecewa dengan sikap anakandanya Raja Ahmad yang telah membunuh anakanda Bendahara Tun Perak, telah menitahkan agar Raja Ahmad dihantar ke Pahang menjadi sultan di sana. Ketika Sultan Mansur Syah sedang gering, dipanggil kedua-dua anakandanya datang mengadap tetapi hanya Raja Husain sahaja yang sempat datang, kerana kedudukan Raja Ahmad jauh di Pahang dan mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai ke Melaka.

Oleh yang demikian, Raja Husain telah ditabalkan menjadi Sultan Melaka dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Diceritakan juga bagaimana Sultan Alauddin menjadi seorang sultan yang adil dan prihatin terhadap keadaan di Melaka, hingga baginda bersama-sama dengan beberapa sahabat karibnya turun sendiri untuk memerhatikan keadaan keselamatan di sekitar kota Melaka. Malam itu baginda dapat mengalahkan lima orang perompak yang sedang merompak barang dagangan seorang saudagar terkenal. Pecahlah tembelang Temenggung yang tidak menjalankan tugas untuk memastikan keadaan keselamatan di sekitar kota Melaka itu terjaga dengan baik.

Buku ini diakhiri dengan kerisauan baginda Sultan Alauddin mengenai anakandanya dari isteri kedua yang sering bermain di rumah Temenggung. Ini adalah kerana isterinya itu merupakan adik kepada Temenggung. Apakah kesudahannya?

Elok jika buku ini dibaca bersekali dengan menggali sejarah kesultanan Melaka.

Dengan ini, beta mengurniakan darjah TIGA 🌟🌟🌟 bintang buat buku ini. 



No comments:

Post a Comment