Tajuk : Global Dream Ride (Siri 3)
Penulis : Anita Yusof
Penerbit : Anita Yusof, 2020
Jumlah Halaman : 311
ULASAN 49/2020.
Buku-bukunya juga semakin lama semakin tebal. Siri 1 hanya 198 halaman, manakala Siri 2 pula setebal 210 halaman dan Siri 3 ini yang paling tebal. Namun, aku tidak berasa bosan langsung membaca buku tebal ini kerana gaya bahasa yang digunakan oleh Anita sangat santai. Seolah-olah dia berada di hadapanku, menceritakan pengalamannya. Aku mengambil masa hanya tiga hari untuk menghabiskannya.
Global Dream Ride atau lebih dikenal sebagai GDR bermula dengan Siri 1 pada 11 September 2015. Anita telah membawa aku terbang dari Kuala Lumpur ke Seattle dan kemudian dari Seattle ke Kanada, hingga ke Alaska; dan kembali semula ke Seattle, lalu meneruskan perjalanan ke San Diego. Dalam Siri 2, aku dibawa pula dari Seattle ke Baja California dan mengembara melalui Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Nicaragua, Costa Rica ke Panama. Di Panama, beliau cross-over ke Cartagena, Colombia menaiki bot. Sebuah pengalaman yang penuh dengan debaran ketika melalui negara-negara yang terkenal dengan penggunaan senjata api yang berleluasa.
Dalam Siri 3 ini, rupanya pengembaraan Anita menjadi lebih mencabar. Bukan sahaja atas faktor keselamatan, tetapi dia juga terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca yang sejuk dan jalan raya yang tidak elok sehingga menyebabkan motornya jatuh tergolek beberapa kali.
Pengembaraan kali ini bermula dari Cartagena, Colombia tanggal 16 Disember 2015. Beliau merentas Ecuador, Llamaha (disebut “Ya-ma-ha”), Bolivia dan Chile, hingga berakhir di Buenos Aires, Argentina pada 3 Mac 2016. Di Buenos Aires, beliau menerbangkan GD (nama yang diberikan kepada motosikalnya) ke London.
Dalam siri kali ini, Anita telah bermurah hati berkongsi banyak gambar menarik di sepanjang pengembaraannya. Oleh kerana itulah, pembacaan buku ini tidak membosankan! Malah, ia penuh dengan perasaan teruja untuk mengetahui apa kisah selanjutnya.
Di sebalik kisah-kisah yang mendebarkan, sempat juga Anita berlawak dengan gaya bahasanya yang tersendiri. Agak kelakar membaca reaksinya apabila beliau diajar makan Churros buat pertama kali di Peru, sehingga Churros sudah menjadi makanan kegemarannya. Kelakar juga apabila beliau menceritakan bagaimana terujanya dia ketika pertama kali terserempak dengan llama dan alpaca di Chile. Seronoknya seperti anak kecil yang baru pertama kali mendapat teddy bear. Kemudian, hasratnya untuk bertemu dengan guanaco sejenis llama juga, telah menjadi kenyataan ketika beliau berada di Bolivia.
Paling kelakar aku rasa bila dia menggambarkan keadaannya dikejar anjing ketika ride di Bolivia. Katanya mungkin kerana anjing-anjing itu menyangkakan dia tulang, kerana badannya telah menjadi sangat kurus akibat terpaksa mencatu makanan.
Dalam pada itu, terselit juga perasaan dukalara beliau tatkala mengenangkan masa silamnya, terutama kisah rumahtangga yang telah runtuh. Aku turut bersedih dengan perasaannya ketika itu. Sudahlah jauh bersendirian di perantauan, apabila mendapat berita yang menyentuh hati, tentulah perasaan sedih itu berkali ganda hebatnya.
Selain itu, beliau juga terpaksa berhadapan dengan cabaran mental yang lain seperti komen-komen mengeji dan mengkritik di laman sosial beliau, orang tempatan yang mengambil kesempatan terhadap kesusahannya dan juga orang yang tidak mahu membantu ketika diperlukan.
Namun begitu, terdapat juga momen-momen yang mengharukan berlaku kepadanya, terutama dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh orang-orang dari Kedutaan Malaysia di Lima dan di Buenos Aires. Beliau juga telah ditemani oleh rakan rider lain di beberapa tempat, terutamanya yang bernama Tim. Walaupun mereka tidak menunggang bersama, tetapi Tim akan menunggu Anita di beberapa tempat atau mengejarnya dari belakang.
Ketika mereka berpisah di Calama, dia sempat berpesan agar Anita menyebut namanya di dalam buku yang bakal ditulis kerana dia juga sebahagian dari sejarah yang telah dicipta oleh Anita – “If you ever write a book, don’t forget to mention my name. I am part of the history, too”.
Antara cabaran fizikal yang dihadapi oleh Anita di sepanjang pengembaraan di benua Amerika Selatan ini ialah keadaan jalan raya dan juga tiupan angin kencang. Katanya tiupan angin yang tidak boleh diramalkan berlaku akibat pertembungan angin dari Lautan Pasifik dan angin dari pergunungan Andes. Ketika beliau sedang menunggang di pergunungan Andes, beliau telah melalui sebuah kawasan yang diliputi kabus tebal yang membataskan penglihatannya hingga sejauh 5 meter sahaja. Selain itu, beliau juga perlu menyesuaikan diri dengan ketinggian kawasan pergunungan itu agar tidak terkena Altitude Mountain Sickness (AMS).
Dalam Siri 3 ini juga Anita menceritakan tentang beberapa impiannya sejak kecil yang telah menjadi kenyataan. Beliau telah berjaya mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya sampai ke titik paling selatan dunia (Southern-most tip of the world) iaitu di Ushuaia. Beliau juga telah dapat pergi ke Machu Picchu, melihat lukisan geoglif di Nazca dan juga merasai sendiri pengalaman berada di atas Salt Flat di Uyuni.
Machu Picchu merupakan sebuah kawasan peninggalan kaum Inca yang terkenal dengan jolokan The Lost City of Inca. Perjalanannya ke sana telah diuji dengan pelbagai jenis ujian, termasuklah perlu berjalan kaki sejauh 10km untuk ke Aguas, sebuah pekan yang paling hampir dengan Machu Picchu. Di pekan ini pengunjung perlu mendapatkan cop pada passport untuk membeli tiket ke Machu Picchu.
Salt Falt pula merupakan sebuah kawasan padang berkeluasan 10000km persegi. Kawasan itu kelihatan seperti sebuah tasik yang besar, cuma ‘airnya’ adalah garam. Lapisan garam di bahagian tengah Salt Flat ini dianggarkan setebal 10m. Ketika musim hujan, kawasan ini akan digenangi air hingga menjadikannya seperti cermin sehingga kelihatan seolah-olah bumi dan langit bersatu dan turut dikenal sebagai ‘World’s Largest Natural Mirror’. Di sini juga terdapat sebuah kawasan yang dipanggil “Cementerio de Trenes” iaitu perkuburan kereta api, di mana lokomotif kereta api yang sudah tidak digunakan ditinggalkan begitu sahaja.
Aku berasa agak terharu apabila dia menceritakan bahawa lawatannya untuk melihat geoglifs di Nazca itu telah ditaja oleh seseorang yang pernah menjadi hosnya ketika di Nicaragua, manakala kunjungan ke Machu Picchu pula ditaja oleh seorang rakan dari sekolahnya. Seringkali disebut di dalam buku ini, bagaimana doa seorang musafir itu sangat mustajab. Mungkin inilah juga antara doa-doa Anita yang telah dimakbulkan Tuhan.
Beliau juga telah mengunjungi Salt Mountain Range di San Pedro, Atacama, di mana bukit-bukit yang terdapat di situ dibentuk sepenuhnya daripada garam. Salah satu tempat menarik yang dikongsikannya ialah Moon Valley atau Valle de La Luna, yang terletak kira-kira 10km daripada San Pedro. Moon Valley ini mempunyai bentuk rupa bumi seperti di permukaan bulan dan gambar-gambarnya boleh dilihat pada halaman 175 – 181. Memang menakjubkan!
Selain itu, berlaku suatu kejadian yang di luar jangkaan apabila beliau telah ditipu ketika berada di Riobamba. Duit yang hendak dikeluarkannya dari ATM berjumlah USD600 rupanya telah ‘disedut’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sedangkan duit itu tidak langsung keluar dari mesin tersebut. Perkara ini hanya diketahui olehnya beberapa hari kemudian, apabila beliau menerima makluman secara online dari pihak bank. Kejadian seumpama ini kerap juga berlaku di Malaysia dan kita memang sentiasa perlu berhati-hati dengan peranti yang mencurigakan di mesin-mesin ATM. Namun, USD600 itu suatu jumlah yang agak besar dan kehilangannya boleh menjadikan kita juga hilang akal. Apatah lagi bagi seorang pengembara di bumi asing, seperti Anita.
Kejadian yang paling menakutkannya berlaku ketika beliau menunggang di kawasan Gurun Atacama. Akibat dari tiupan angin kencang, beliau tidak dapat mengawal motosikalnya dengan baik sehingga beliau hampir saja dilanggar sebuah trak panjang.
Sepanjang pembacaan ini, aku turut mengalirkan airmata sebanyak empat kali. Pertama, ketika beliau sampai di Ushuaia. Kedua, ketika beliau mengucapkan selamat tinggal kepada GD sebelum motosikalnya itu dibungkus untuk penerbangan ke London. Ketiga, ketika Duta Besar Malaysia di Buenos Aires mengatakan bahawa beliau tahu mengenai kesusahan Anita untuk sampai ke situ kerana beliau mengikuti perkembangannya di Facebook. Keempat, ketika beliau bermonolog di lapangan terbang Buenos Aires, sementara menunggu penerbangan ke London.
Membaca kisah pengembaraan seperti ini mungkin akan menjadikan kita juga teruja untuk melakukannya dan mungkin juga kelihatan seperti mudah. Namun, aku yakin, banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum dan juga semasa pengembaraan. Contohnya bagaimana beliau telah membuat tempahan awal untuk bilik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong manakala di tempat lain beliau hanya perlu mencari hostel sahaja. Beliau juga membuat research tentang stesen minyak di sepanjang jalan yang akan dilaluinya. Malah, ada juga stesen minyak yang tidak menjual petrol kepada orang asing. Jika ada, dia perlu menunjukkan passport dan maklumatnya akan dimasukkan ke dalam sistem komputer. Alangkah bagusnya kalau sistem yang sama dapat diaplikasikan di Malaysia, agar tiada pihak yang menyalahgunakan petrol subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Terima kasih di atas perkongsian yang berharga ini, Kak Anita. Harap-harap akan ada GDR 4 pula selepas ini.