7 November 2020

Sejadah Kita Hamparkan, Zikir Kita Lagukan (43/2020)

 


Tajuk : Sejadah Dihamparkan, Zikir Kita Lagukan
Editor Penyelaras : Sri Diah
Penerbit : Writer’s Write, 2019
Jumlah Halaman : 198


ULASAN 43/2020.


Buku ini merupakan sebuah antologi yang memaparkan perkongsian seramai 15 orang penulis, termasuklah sepupuku, Azah. Setting buku ini menarik kerana pada setiap permulaan bab disertakan gambar penulis, tajuk penulisannya dan juga sepotong ayat kata-kata hikmah. 

Buku ini adalah hasil dari bengkel penulisan yang diadakan oleh puan Sri Diah dalam tahun 2018 dan temanya ialah mengenai peluang kedua.  Tetapi, aku dapati ada beberapa penulis yang tidak begitu menepati tema tersebut. Sungguhpun demikian, kisah yang dikongsikan mereka tidak kurang menariknya kerana ia kisah benar yang tentunya tidak sama dengan kisah kita.
 
Ada kisah mengenai pengalaman pahit penulis dalam rumahtangganya sehingga membawa kepada perceraian, lalu membuatkan beliau rasa menyampah dengan lelaki. Kemudian beliau dihinggapi oleh perasaan suka terhadap seorang lelaki yang digelarnya sebagai Pelari Misteri. Mungkinkah ada peluang kedua untuknya mengecap nikmat bahagia? Hanya sang pengkarya sahaja yang tahu, kerana kisahnya ditamatkan begitu sahaja.   
 
Ada beberapa penulis yang berkongsi mengenai impian mereka untuk bergelar seorang Doktor Falsafah. Salah seorangnya bangkit setelah impiannya untuk menjadi seorang pramugari tidak kesampaian. Namun asbab dari kegagalan itu menjadikannya terus kuat berusaha hingga akhirnya berjaya mendapat gelaran Doktor Falsafah. Seorang lagi penulis gigih berusaha untuk memenuhi impian ayahnya untuk bergelar seorang Doktor, setelah beliau hanya berjaya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di sebuah Politeknik. Berkat usaha gigihnya, beliau berjaya meneruskan pengajiannya hingga menjadi seorang Doktor Falsafah.  
 
Seorang lagi penulis juga berkongsi kisahnya mendapat gelaran Doktor Falsafah. Istimewanya kisah beliau ialah bagaimana keputusan peperiksaan yang gagal dikatakan berpunca dari kesilapan pihak pendaftar, lalu ditawarkan peluang untuk mendaftar semula sebagai pelajar diploma kejuruteraan. Setelah berkahwin dan mendapat cahaya mata, suaminya pula mengajak beliau menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah. Kedua-dua suami isteri telah mengharungi pelbagai cabaran untuk mengecap hasil kerja keras dan pengorbanan mereka.  
 
Sebuah perkongsian yang agak menarik bagiku ialah tentang pengalaman seorang penulis bertemu dengan Pramoedya Ananta Toer, penulis sensasi di Indonesia. Setelah dia gagal untuk menyambung pelajaran di Indonesia, dia tetap meneruskan hasratnya dengan berusaha sendiri untuk mencari Pramoedya di Jakarta. Katanya pencariannya itu berisiko tinggi kerana Pramoedya dikategorikan sebagai komunis di negaranya dan sesiapa yang pergi berjumpa dengannya boleh ditahan oleh polis Indonesia. Ini suatu pengetahuan baru bagiku!     
 
Sepupuku Azah menceritakan detik cemas yang dilalui olehnya sekeluarga apabila rumah yang didiaminya dimasuki perompak! Pengalaman pahitnya itu berlaku dalam bulan Ramadan dan episod itu dianggap seperti mati hidup semula. Kejadian ini juga boleh kita ambil sebagai peringatan agar tidak lalai dan leka, walaupun ketika berada di dalam rumah sendiri.
 
Seorang lagi penulis berkisah mengenai kehamilannya buat kali ketiga yang keguguran ketika janin masih belum terbentuk. Kehilangan itu telah menimbulkan rasa sedih dalam dirinya. Tetapi, pada penghujung tahun 2018 beliau telah diberi peluang kedua untuk menimang cahaya mata ketiga.
 
Ada penulis yang berkongsi mengenai pengalamannya bekerja di pasar borong dan akhirnya mendapat tawaran belajar ke Institut Bahasa.
 
Ada juga penulis yang berkongsi kisah mengenai sikap ibu mertua yang tidak membenarkannya bekerja. Namun, atas dasar kasih dan sayang terhadap keluarga, dia tekad untuk menerima tawaran bekerja dengan izin suaminya. Tidak lama kemudian, apabila suaminya kehilangan pekerjaan, dia juga ditawarkan bekerja dalam daerah yang sama. Semuanya hasil dari solat istikharah yang telah dilakukan oleh penulis.
 
Seorang penulis pula berkongsi mengenai pengalamannya ketika menjadi pelajar dia mengalami batuk yang agak kronik dek kerana tabiat suka merokok. Sepanjang pembacaan, hatiku berdebar-debar sambil berharap janganlah hendaknya dia didapati menghidap penyakit barah. Syukurlah, pengakhirannya tidak begitu. Dia juga sudah mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupannya tanpa rokok.
 
Seorang penulis pula berkongsi kisah mengenai hasrat seorang guru lelaki yang menaruh perasaan terhadapnya, ketika dia bertugas sebagai guru gantian. Namun hasrat murni itu telah ditolaknya. Apabila rakan baiknya sendiri jatuh cinta dengan guru tersebut, dia berasa kecewa. Barulah dia sedar bahawa dia juga ada menyimpan perasaan terhadap cikgu tersebut. Namun dia mendapat peluang kedua untuk mengubah kehidupannya apabila ditawarkan kursus kejururawatan di Bukit Mertajam.
 
Ada beberapa perkongsian yang tidak begitu jelas tema peluang keduanya.
 
Pertamanya sebuah perkongsian bagaimana seorang isteri menjaga suaminya yang sakit. Penulisan ini dibuat dari dua perspektif berbeza iaitu isterinya dan kemudian suaminya dan akhirnya kembali kepada perspektif isteri setelah suaminya meninggal dunia. Sebuah lagi ialah perkongsian mengenai ayah yang telah meninggal dunia, tetapi masih terus-menerus menerima pujian dari orang-orang sekeliling mengenai kebaikannya. Penulis turut mengisahkan tentang penyakit yang dihidapi oleh ayahnya iaitu Strok Aphasia hingga menyebabkan ayahnya menjadi seperti seorang anak kecil yang baru belajar bertutur. Tersentuh perasaan setelah membaca kedua-dua kisah ini.
 
Terdapat juga sebuah perkongsian yang mendebarkan iaitu mengenai misi penulis untuk menyelamatkan seorang ibu dan bayi dari Thailand untuk dibawa masuk ke negara ini demi menyelamatkan aqidah bayi dan ibunya agar tidak keluar dari landasan agama Islam. Walaupun akhirnya dia berjaya membawa mereka menyeberangi sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan, namun sepanjang perjalanan itu penuh dengan risiko.
 
Kisah seorang penulis mengenai datuknya mengingatkan aku kepada waktu-waktu aku tinggal bersama dengan datuk dan nenekku. Namun kisah ini bagiku agak dangkal kerana aku tidak pasti apakah mesej sebenar yang hendak disampaikan. Di awalnya beliau berkisah mengenai datuknya yang bekerja di sawah dan pada waktu malam, dia mengikut datuknya ke surau. Di akhirnya pula, beliau menceritakan tentang kopi buatan neneknya, kehadiran wakil rakyat ke kawasannya yang membuka peluang untuk melatih usahawan dan peluang keduanya ialah mengenai hasratnya untuk mengkomersialkan kopi buatan neneknya itu. Mungkin lebih menarik jika topik mengenai kopi buatan neneknya itu yang dijadikan topik utama dan perkongsiannya dikembangkan berdasarkan kepada topik itu.
 
Oleh kerana buku ini hanya sebuah bacaan ringan, aku hanya mengambil masa satu hari untuk menghabiskan pembacaan. Aku berikan TIGA 🌟🌟🌟 bintang untuk buku ini.



No comments:

Post a Comment