18 April 2021

Kesalahan Media Sosial – Manual Siasatan dan Pendakwaan (08/2021)

 


Tajuk : Kesalahan Media Sosial – Manual Siasatan dan Pendakwaan
Penulis : Mohd. Sophian Zakaria dan Akmal Hamdy Baharudin
Penerbit : Jabatan Peguam Negara, 2021
Jumlah Halaman : 94


ULASAN 08/2021.


Buku ini baharu saja aku beli, melalui perkongsian di dalam Whatsaap Group. Ia ditulis oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya dan seorang Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan MCMC. Memandangkan buku ini ditulis oleh pegawai yang memang berpengalaman dalam bidang mereka masing-masing dan diterbitkan pula oleh Jabatan Peguam Negara, maka bolehlah dikatakan bahawa buku ini bukan sembarangan buku.
 
Sebagai seorang pengguna media sosial, memang sangat wajar kita membaca buku ini. Dalam bab pertama dijelaskan tentang keterangan elektronik iaitu keterangan yang diperolehi dari peranti, aplikasi media sosial, rangkaian yang digunakan dan keterangan sekeliling, Ini termasuklah perbualan di dalam Whatsapp, gambar, hantaran di laman Facebook, Twitter, Whatsapp, dan sebagainya.  Aku masih ingat pada awal tahun 90an ketika emel masih lagi baharu digunakan, ia belum lagi dianggap sebagai suatu bukti yang boleh diterima di dalam mahkamah. Tetapi, melalui buku ini, dijelaskan bahawa emel juga termasuk dalam kategori keterangan elektronik.
 
Bab seterusnya menggariskan jenis-jenis kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan media sosial dan kesalahan-kesalahan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu:
 
1. Peruntukan kesalahan khusus di bawah Akta Komunikasi dan Media 1998; dan
2. Peruntukan kesalahan jenayah am di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.
 
Antara kesalahan-kesalahan ini termasuklah penyebaran laporan palsu, mendedahkan maklumat, menyebut sesuatu dengan niat hendak melukakan perasaan penganut sesuatu agama, mewujudkan suasana tidak harmoni, benci-membenci dan perpecahan, menipu, menfitnah dan sengaja mengaibkan dengan tujuan untuk mewujudkan suasana tidak aman.
 
Buku ini juga menjelaskan dengan terperinci tentang kuasa seseorang pegawai penyiasat yang boleh membuat penggeledahan, sama ada penggeledahan dengan waran mahupun tanpa waran, ke atas premis yang disyaki dan beliau juga mempunyai kuasa untuk menyita apa-apa peranti yang disyaki telah digunakan. Penggeledahan terhadap peranti bukan sahaja dilakukan terhadap peranti itu sahaja, tetapi juga terhadap capaian (akses) kepada password, encryption code, decryption code, software dan hardware.
 
Bab V memberikan proses yang terperinci bagaimana sesuatu peranti itu disiasat dan ini termasuklah untuk mengenal pasti bahawa peranti itulah yang telah digunakan di dalam kesalahan tersebut. Peranti yang disebut di dalam bahagian ini ialah telefon bimbit, kad sim, kad memori, komputer, hard disk, dan modem dan router. Manakala Bab VI pula memberikan penjelasan terperinci tentang proses siasatan terhadap aplikasi iaitu SMS, MMS, emel, Facebook, Twitter, Whatsapp, Wechat, Telegram, Web dan Blog.
 
Bahagian VII pula menjelaskan tentang garis panduan analisis forensik digital merangkumi kes-kes yang melibatkan semua jenis aplikasi yang telah dijelaskan dalam Bab VI. Bab VIII pula menggariskan beberapa contoh pertuduhan melibatkan penggunaan media sosial. Antaranya mesej yang berbaur lucah, mengancam, memfitnah, menyiarkan maklumat palsu, menghasut, mengapikan perkauman dan penipuan dalam perniagaan.
 
Dari penjelasan yang telah diberikan, perlu diingatkan bahawa, walaupun kita menggunakan nama samaran di dalam media sosial, maklumat sebenar kita masih boleh diperolehi dari pelbagai sumber lain. Maka berhati-hatilah ketika melakukan hantaran. Elakkanlah dari menulis, menghantar dan berkongsi maklumat-maklumat yang menyalahi undang-undang.
 
Aku khuatir juga, dengan maklumat yang sangat terperinci yang dikongsikan di dalam buku ini kelak akan menjadikan ‘pakar-pakar’ di luar sana lebih kreatif dan berhati-hati ketika melakukan kesalahan.
 
Sebagai sebuah buku rujukan yang memberi banyak ilmu pengetahuan baru, aku berikan buku ini EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang.



No comments:

Post a Comment