19 April 2021

Brader, Kita Mesti Terus Hidup! (12/2021)

 


Tajuk : Brader, Kita Mesti Terus Hidup!
Penulis : Nasir Jani
Penerbit : Dubook, 2016
Jumlah Halaman : 254



ULASAN 12/2021.


Terkedu.
 
Itu kesimpulan yang aku boleh buat selesai aku membaca buku ini. Perasaan yang sama selepas aku habis membaca Million Dollar Whale beberapa tahun lepas.
 
Siapa yang tak kenal dan tak pernah dengar nama Nasir Jani bermakna dia tak pernah dengar tentang filem Kembara Seniman Jalanan yang telah diarahkan oleh beliau dalam tahun 1986. Filem yang telah mengetengahkan M. Nasir sebagai penyanyi jalanan (busker) dan perjalanannya untuk menjadi seorang recording artist. Filem yang turut menampilkan kumpulan Search sebagai pelakon. Dalam filem itu juga, Nasir Jani telah mempertaruhkan Pyanhabib sebagai pelakon pembantu, dengan nama Osman Tikus. Selain itu, beliau juga telah mengarah filem Rozana, Cinta ’87.
 
Tajuk buku ini diambil dari petikan dialog yang sering dilontarkan oleh Osman Tikus dalam filem KSJ, yang membawa maksud “biar apa pun yang terjadi, kita mesti terus melangkah maju ke hadapan demi kelangsungan hidup kita.”
 
Buku ini bukan sebuah autobiografi. Ia juga bukan sebuah memoir Nasir Jani. Buku kecil ini merupakan catatan peribadi beliau yang ditulis dalam tahun-tahun 1996 – 1998 mengenai apa yang telah berlaku ke atas dirinya sejak tahun 1991. Catatan-catatan ini kemudiannya dibukukan. Pada mulanya hati aku berkata ini cuma luahan hati seorang pengarah yang tidak berpuas hati kerana karyanya telah disekat. Bak kata orang zaman sekarang “meroyan”.
 
Ini kerana Nasir Jani merupakan seorang pengarah filem yang telah menimbulkan kontroversi dalam tahun-tahun ’88 – ‘90an. Beliau telah digam dan disenaraihitamkan oleh Kementerian Penerangan. Bukan sebagai individu sahaja, malah segala karya yang diarahkan oleh beliau turut menjadi mangsa. Tindakan kukubesi oleh pihak Kementerian seolah-olah ingin menutup periuk nasi Nasir Jani yang semata-mata berlandaskan kepada kreativiti dan kecintaan beliau terhadap pengarahan filem.
 
Sekali baca memang begitulah tanggapan aku.
 
Kalau pada awal buku ini Nasir Jani menulis bahawa dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan penceritaannya, maka aku juga sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak mulakan ulasan ini. Maka, izinkanlah aku memberikan sedikit analogi:
 
Budaya masyarakat, malah keluarga sendiri pun, sering memberi ‘label’ kepada seorang anak yang sikapnya lain dari yang lain. Tambahan pula bila anak ini suka melawan, memberontak dan bertindak di luar jangkaan. Anak-anak seperti ini dikatakan anak yang nakal, degil dan ‘rebelious’. Dalam keadaan yang lebih esktrim, anak-anak ini dilabel sebagai anak yang jahat. Malah ada juga ibu bapa yang sanggup mengatakan anak-anak ini sebagai ‘anak derhaka’.
 
Anak-anak ini seringkali dimarah, dipukul, didera dan ada juga yang dihalau dari rumah. Hanya kerana mereka melawan dan cuba menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Tidak ada siapa yang hendak bertanya mengapa dia jadi begitu. Tidak ada langsung yang hendak bertanya apa yang sebenarnya dia mahukan.
 
Begitulah pandanganku tentang nasib yang telah menimpa Nasir Jani kira-kira 30 tahun yang lalu. Suatu tempoh yang sudah agak lama, tetapi aku yakin, pedih lukanya masih terasa dan mungkin juga masih berdarah. Jika tidak, masakan beliau bersetuju untuk menerbitkan catatan -catatan peribadinya ini dalam tahun 2016, kira-kira 25 tahun selepas tahun keramat itu berlaku?  
 
Nasir Jani dilabel sebagai “pengacau” dan memang dia pernah menimbulkan suasana tegang ketika majlis dialog antara para karyawan dan Menteri Penerangan sedang berlangsung. Malah, Pengerusi FINAS ketika itu sendiri yang memanggil beliau “pengacau” sedangkan apa yang sedang disuarakan oleh beliau dalam majlis tersebut tidak didengar oleh mereka. Tidak diambil endah, malah tidak dijawab. Malah beliau juga turut mengaitkan Perdana Menteri ketika itu, yang katanya telah memainkan peranan besar di belakang tabir. 
 
Pada aku, buku ini walau dalam bentuk apa sekalipun bahasa yang digunakannya, membawa SATU mesej penting iaitu korupsi. Korupsi berlaku di mana-mana sahaja dalam negara kita ini. Tidak kiralah untuk projek besar mahupun kecil. Takut kena saman pun boleh berlaku korupsi. Hendak percepatkan proses permohonan kemasukan ke Universiti pun berlaku korupsi. Korupsi tetap korupsi. 
 
Apa yang diketengahkan oleh Nasir Jani dalam buku ini ialah mengenai korupsi yang berlaku dalam industri seni tanah air.
 
Paling menyedihkan, gara-gara korupsi pihak yang sepatutnya menjaga kebajikan pengkarya dan penggiat seni, negara ini menjadi seolah-olah seperti hilang arah bila bercakap tentang hala tuju dan masa depan industri. Menjadi satu bahan jenaka pula apabila kita bercakap tentang kelayakan filem kita untuk ke persada antarabangsa. Seolah-olah di Malaysia ini tidak ada langsung pengkarya yang layak. Tidak ada langsung pengarah-pengarah filem yang berkaliber. Walhal sebenarnya ada. 
 
Aku juga berasa agak terkejut apabila membaca bagaimana Nasir Jani telah dipermainkan oleh seseorang yang bergelar ‘kawan’ dengan menerbitkan sebuah interview yang tidak pernah berlaku. Ibaratnya seperti mencurah minyak ke dalam api. Sedangkan kawan itu seorang pengamal media utama (mainstream media) dan beliau juga seorang yang aku kagumi. Nah! Bagaimana seorang ‘pengamal media’ boleh berlaku curang dan tidak berintegriti? Ini juga satu bentuk korupsi, bagi aku. Sanggup menikam belakang kawan sendiri semata-mata kerana hendak ‘membodek’.
 
Sedih juga kerana sehingga kini, masih belum nampak tanda-tanda industri filem ini akan berkembang biak seperti mana filem-filem dari negara Asia lain yang sudah menerobos ke ruang antarabangsa. Masih terlalu banyak birokrasi dan politik yang dimainkan.
 
Sepanjang membaca buku ini aku perlu pejamkan mata dan pekakkan telinga untuk beberapa ketika kerana terlalu banyak ayat yang gerenti tidak akan lepas jika dihantar ke Lembaga Penapisan. Namun, aku faham. Itu semua disebabkan oleh perasaan marah yang tidak lagi terbendung. Buku ini bersifat “bare all, tell all” atau tagline yang pernah terkenal sedikit masa dahulu iaitu “nothing to hide.”
 
Cuma satu yang aku tidak setuju, iaitu nama negara yang telah diubah ejaannya. Biarpun kemarahan itu melonjak hingga ke langit ke tujuh sekalipun, janganlah nama negara kita ini dijadikan mangsa. Yang korup bukan negara, tetapi kerajaannya. Yang bangsat bukan negara, tetapi pemimpinnya.
 
Sayangi MALAYSIA. 
 
Buku ini aku hadiahkan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang.





No comments:

Post a Comment