Tajuk : Air Pasang Pagi
Penulis : Tok Rimau & Fraja Beha
Penerbit : Dubook Press Sdn. Bhd., 2016
Jumlah Halaman : 118
ULASAN 01/2021.
Aku buat pesanan untuk membeli buku ini setelah aku membaca hantaran
Fraja Beha di laman Facebook beliau dalam bulan November tahun lepas. Ketika
itu, Dubook Press Sdn. Bhd. sedang rancak menjual buku-buku terbitan mereka
secara lelongan setelah syarikat itu membuat keputusan untuk menutup operasi
mereka. Mereka juga telah menyerahkan semula hak cipta kepada semua penulis. Pada
kesempatan itu, aku membeli tiga buah buku ini. Salah satunya untuk aku sendiri.
Mengenai penulis-penulis (sebetulnya, ilustrator) buku ini – Fraja Beha tidak
begitu aku kenal, hanya pernah mendengar namanya sahaja. Dalam penerangan
mengenai penulis & pelukis, di bawah nama Fraja Beha ditulis “Error 404.
Maklumat tidak diperolehi.” Malah, tidak ada apa-apa maklumat pun mengenai
latar belakangnya yang boleh diperolehi dalam Google. Sungguh berahsia
orangnya. Tok Rimau pula hanya kukenal secara maya, melalui Facebook, dan aku
tahu beliau seorang yang memang handal melukis.
Buku ini merupakan sebuah travelog / memoir ketika mereka ke Pulau Mabul dalam
tahun 2015 - 2016. Menurut kata Tok Rimah, buku ini disiapkan dalam tempoh 18 bulan dan sepanjang waktu itu, dia telah pergi ke Pulau Mabul sebanyak 3 kali. Mabul. Sebuah pulau kecil di Sabah. Kedudukan Pulau Mabul ni
berhampiran dengan ‘bibir bawah’ peta Malaysia Timur yang bentuknya seperti
seekor kucing itu. Lokasinya juga berhampiran dengan Pulau Sipadan. Pulau ini
terletak dalam perairan Laut Celebes yang juga dikenal sebagai Laut Sulawesi.
Travelog ini yang dipanggil “petualangan” oleh mereka, mengisahkan
tentang pengalaman mereka ketika menyelam skuba di Laut Celebes, bergaul dengan
Bajau Laut atau Sea Gypsies di sana dan juga kisah mereka mengambil lesen
skuba.
Apa yang menarik tentang buku ini selain dari pengalaman mereka ialah lakaran-lakaran
yang menggambarkan apa yang diceritakan. Ujang yang menulis Prakata 1
menyebut bahawa lakaran mereka ringkas dan stroke mereka juga tidak berapa matang. Namun begitu, walaupun semua lakaran dibuat menggunakan dakwat hitam putih, aku
sebagai pembaca masih dapat menggambarkan suasananya. Termasuklah
pemandangan Bohey Dulang yang dilakar oleh Tok Rimau dalam halaman 19. Prakata 2 pula ditulis oleh Daniel Mahendra, penulis buku Perjalanan ke Atap Dunia yang berasal dari Indonesia. Katanya buku pertualangan ini santai dan penuh dengan jenaka namun tetap mempunyai mesej yang tersendiri.
Benar, buku ini ditulis dalam gaya bahasa yang mudah difahami. Seolah-olah mereka sedang bercerita secara bersemuka. Ada kalanya boleh membuatkan aku ketawa seorang diri. Selain dari itu, tarikan kepada buku ini ialah penceritaan yang dibuat
dalam bentuk tulisan tangan. Tulisan tangan yang ‘sebiji-sebiji’ (bukan tulisan
sambung / berangkai) memudahkan pembacaan.
Tok Rimau menulis dan melakar pada bahagian pertama buku ini. Beliau menceritakan sedikit latar belakang
mengenai Pulau Mabul sambil menyelitkan lakaran pemandangan resort yang mereka diami, kawasan perkampungan Bajau Laut dan rumah-rumah Bajau di pulau-pulau
sekitarnya iaitu Pulau Selakan, Maiga, Sibuan dan Mantubaan. Kebanyakan dari
rumah-rumah ini dibina di atas air. Rumah mereka kecil dan barang di dalamnya juga ringkas. Bak kata Tok
Rimau, kalau mereka mempunyai banyak harta di dalam rumah itu, “susah mahu
berangkut bila tiba masa untuk pindah.”
Lakaran yang dibuat oleh Tok Rimau merupakan koleksi petualangan beliau
ke Mabul sebanyak 3 kali. Bermula dengan hanya snorkeling di permukaan air, dia
kemudiannya mencuba Discovery Scuba Dive (DSD) dan akhirnya mengambil lesen
skuba. Maka dalam beberapa halaman diceritakan dan dilakarkan tentang proses pembelajarannya
termasuk ketika membaca buku Open Water Diving dan pengalamannya ketika
mula-mula berada di dalam laut.
Aku juga tertarik dengan kata-kata hikmat Tok Rimau:
“Di laut ini aku pelajari betapa sedikit seorang insan perlu,
bukan
betapa banyak.”
– Tok Rimau 24/12/15
Bermula pada halaman 62, Fraja Beha pula menulis dan melakar
pengalamannya. Beliau telah menjejakkan kaki ke Pulau Mabul buat pertama kalinya
dalam tahun 2014. Sama seperti Tok Rimau, Fraja mengisahkan tentang
pengalaman beliau ke Mabul sebanyak 3 kali.
Tetapi, berbeza dengan Tok Rimau, Fraja lebih banyak menulis dari melakar.
Namun, gaya penulisannya yang bersahaja menjadikan ia sebuah pembacaan yang
menyeronokkan. Beliau
juga memberi serba-sedikit penerangan mengenai kehidupan etnik Bajau di sana,
terutamanya mengenai anak-anak Bajau Darat yang bebas ke sana ke sini dan tanpa
segan-silu meminta wang daripadanya. Malah, ada juga yang berani merampas beg
duit daripada tangannya.
Mabul terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampung Mabul dan Kampung Musu,
manakala penduduknya pula terbahagi kepada kaum Suluk dan Bajau. Sebagai penduduk
pulau, sudah tentulah hasil laut merupakan punca pendapatan utama mereka. Menurut
cerita Fraja, hasil laut di sini murah-murah.
Fraja juga tidak ketinggalan menulis tentang pengalaman beliau ketika
mengambil lesen PADI Open Water Course bersama dengan kawan-kawannya, yang
diajar oleh seorang dive instructor bernama Radzuan Ismail. Buku ini akhiri dengan kata-kata semangat dari Fraja untuk kita semua
pergi menyelam. Katanya:
“If we wait until we are ready, we’ll be waiting
for the rest of our lives. Now, go dive!”
Memandangkan buku ini bacaan ringan yang mempunyai unsur-unsur seni dan sarat dengan maklumat, maka aku berikan EMPAT 🌟🌟🌟🌟 bintang.
Sesiapa yang ingin memiliki buku ini, aku ada dua yang baharu. Siapa cepat, dia dapat!