Tajuk: #Diari
Seorang Mujahidah Kembara Syria
Penulis: Heliza
Helmi & Roziyah Mahamad
Penerbit: PTS
Publishing House
Jumlah Halaman: 118
ULASAN 34/2020.
Buku ini aku beli melalui pautan di Facebook. Aku juga membeli sebuah
buku lain dari penjual yang sama dan diberi hadiah dua buah buku lagi. Bermakna
aku mendapat empat buah buku pada harga dua buah sahaja.
Seperti tajuknya, buku ini mengisahkan tentang pengembaraan kali pertama
pelakon bernama Heliza Helmi ke Syria, bersama dengan kumpulan Aman Palestin. Menurutnya,
beliau jatuh cinta dengan bumi Palestin setelah mendengar lagu Palestine Will
Be Free, nyanyian Maher Zain. Setelah mendapat peluang bersama dengan Aman
Palestin dalam tahun 2008, beliau berdoa agar diberi peluang lagi untuk
meneruskan kerja-kerja amal seperti itu. Dalam tahun 2012, doa beliau
dimakbulkan Tuhan.
Beliau dan rakan penulisnya mencatatkan memori, perasaan dan keadaan sepanjang
mereka mengembara di bumi yang sedang bergolak itu, di dalam buku ini. Ia dipenuhi
dengan gambar berwarna yang menambahkan isi kepada penulisan mereka. Selain
itu, diselitkan juga ayat-ayat Al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.
Melalui penulisannya, terasa betapa bersemangatnya Heliza dalam
melakukan kerja-kerja amal seperti itu, walaupun nyawa beliau dan rakan
seperjuangannya sentiasa dalam bahaya. Beberapa kali dicoretkan bahawa misi
beliau bukan sahaja ketika di sana, malah setelah pulang ke tanah air beliau
akan meneruskan usaha untuk mendapatkan bantuan bagi penduduk Palestin dan
Syria. Buku ini merupakan salah satu wadah yang digunakannya untuk menyampaikan
hasrat perjuangannya itu.
Peperangan yang melanda Palestin dan Syria telah mengakibatkan banyak
kerosakan kepada penempatan umat Islam. Malah, ramai umat Islam diseksa dan
dibunuh dengan kejam oleh rejim Israel dan tentera Assad. Penduduk yang dikurung
di dalam kem-kem tahanan pula tidak diberi makan dan minum, dan tidak diberikan
sebarang rawatan. Seolah-olah dibiarkan mati secara perlahan-lahan. Mereka juga
tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0FbYNwxD8Phsys5k055JOBAyB23ZO9Yd2hlRcwslaB1FaXczC42nkz5eoFeOrZZynZ9htiu5Mli8oJT5qutWT3hZ5MmcC85Z3bFLqAoo8k-5hTSJv2Lkx30Jdj-DKKoCOizh043ywsAE1/s320/20200817_231312.jpg)
Hati berasa sayu dan tersentuh tatkala membaca kisah duka kanak-kanak,
orang-orang tua dan wanita di sana. Paling sedih dan marah bila membaca kisah
seorang wanita yang melawan ketika mahu ditangkap oleh tentera, diperkosa lalu
dibunuh dan mayatnya dipotong empat. Bukan itu sahaja, mayatnya yang telah
dipotong-potong itu dimasukkan ke dalam plastik dan dicampakkan di hadapan
keluarganya.
Begitulah kejamnya tentera Assad.
Debaran terasa apabila rombongan Heliza cuba memasuki Kem Yarmouk, di
mana sekelilingnya dikawal rapi oleh tentera dengan penembak tepat berada di
setiap penjuru. Silap langkah, mereka boleh ditembak begitu sahaja. Bedilan bom
juga kedengaran setiap masa. Bedilan
yang mereka dengar itu rupanya memang sangat hampir dengan lokasi kunjungan
mereka, di mana seorang kanak-kanak telah terbunuh.
Namun, dari riak wajah mereka dan melalui dialog-dialog yang ditulis,
penduduk Palestin dan Syria redha dengan keadaan yang melanda mereka. Mereka
tidak menyalahkan takdir. Mereka juga tidak menyalahkan Tuhan. Tidak langsung!
Tetapi semangat mereka tetap teguh dan kuat untuk terus berjuang. Keimanan
mereka sangat teguh dan mereka bersandar sepenuhnya kepada Allah SWT. Sebaliknya,
mereka pula yang memberikan kata-kata semangat kepada ahli-ahli rombongan.
Seperti apa yang ditulis oleh Heliza, penduduk Palestin mengatakan
kepadanya bahawa mereka hanya akan berehat di syurga, kerana dunia merupakan
tempat perjuangan tanpa henti. Mereka sanggup tinggal dan berjuang demi tanah
air mereka, daripada datang ke negara yang aman seperti Malaysia ini.
Buku ini juga aku kategorikan sebagai bacaan ringan, namun isinya yang
padat dan memberi banyak kesedaran kepadaku, maka aku beri TIGA (🌟🌟🌟) bintang.
**********************************************************************************
Buku ini akan aku hadiahkan kepada SEORANG pembeli buku
antologi Rezeki : Jangan Iri, Engkau Yang Rugi, yang mengandungi hasil
penulisanku yang pertama. Buku ini harganya RM38, termasuk kos penghantaran.
SIAPA CEPAT, DIA DAPAT!
No comments:
Post a Comment