![]() |
Tajuk: Sembang Tepi Jalan : Syurga Yang Hilang
Penulis: Meor
Penerbit: Merpati Jingga, 2012
Jumlah muka surat: 133
Harga: RM 20.00
ULASAN 32/2020.
Sesiapa yang bekerja di sekitar KL Sentral atau
yang kerap berlegar-legar di sana untuk menaiki tren Komuter, pasti pernah
nampak seorang lelaki memakai topi baretta, menyanyi sambil berdiri dan memetik
gitar. Lagu-lagu yang dinyanyikannya
kebanyakannya lagu-lagu evergreen. Suaranya sedap didengar. Tidak terlalu
nyaring dan tidak terlalu garau.
Itulah Meor, penulis buku ini.
Aku membeli buku ini pun ketika aku berkeliaran
di KL Sentral beberapa tahun yang lalu. Sudah menjadi minat aku mendengar orang
menyanyi di tepi jalan, atau sekarang mereka ini lebih dikenal dengan panggilan
“buskers”. Jadi, pada ketika itu aku berhenti untuk mendengar Meor menyanyi.
Aku pun dah lupa lagu apa yang sedang didendangkannya.
Di atas lantai, sentiasa akan dibuka kotak
gitarnya di mana orang ramai akan meletakkan duit sumbangan. Selain dari duit, aku nampak ada juga beberapa
buah buku diletakkan di situ. Maka aku pun ambil salah satu buku itu yang
memaparkan gambar beliau sendiri dan aku letakkan duit di dalam kotak gitar
itu. Meor hanya menganggukkan kepalanya tanda mengucapkan “terima kasih”.
Setelah sekian lama diperam, baru inilah aku
berpeluang untuk membacanya.
Menurut Kata Penerbit, buku ini merupakan
lanjutan kepada buku Meor yang terdahulu, bertajuk Sembang Tepi Jalan. Sedikit
latar belakang Meor yang ditulis menyatakan bahawa beliau pernah hidup merempat
dan pernah juga dimasukkan ke lokap gara-gara disalahertikan sebagai penagih.
Buku ini merupakan koleksi pemikiran Meor dalam tahun-tahun 2005 hingga 2009, sebagaimana tercatat pada setiap bab. Bab-bab dalam buku ini pula dikategorikan mengikut tema dan terdapat tujuh tema yang diketengahkan, iaitu Sembang Tepi Longkang, Perasaan, Renungan, Aku dan Kepercayaanku, Satu Keindahan, Maut dan Syurga Yang Hilang. Namun, isi kandungannya tidak disusun mengikut turutan tahun ia ditulis.
Membaca buku ini, aku menghadapi
sedikit kesukaran untuk faham apa yang cuba disampaikannya. Sudah biasa dengan
struktur buku yang tersusun dengan tajuk dan isi kandungan yang juga tersusun,
aku terpaksa ubah pemikiran aku ketika membaca buku ini. Agak penat juga,
sebenarnya, apabila cuba menghadam maksud di sebalik kata-katanya.
Secara amnya, Meor menulis tentang kehidupan,
kesufian dan ketuhanan. Dalam beberapa bab, contohnya bab bertajuk Harta, Hijrah
dan Aku II, dia bercerita mengenai ilmu hakikat dan Nur Muhammad. Malah beliau
juga mengupas lirik lagu Rintihan Rasa yang dinyanyikan oleh DJ Dave dan Uji
Rashid sebagai mesej antara insan dan Tuhan. Meor menulis tentang kehidupan yang sementara;
tentang roh dan segalanya yang bukan milik kita, begitu juga waktu / masa;
tentang bahagia yang hakiki; dan beliau juga menulis tentang cabaran-cabaran
dalam mengenal Tuhan.
Dalam bab Diskusi Dunia Akhirat…Di Malam Raya,
Meor menulis tentang kekecewaannya terhadap orang-orang yang suka menghukum orang lain
hanya dari segi material. Ini jelas dari ayatnya yang berbunyi ‘sekiranya
manusia, jalankanlah tugas sebagai manusia yakni jangan suka menghukum’. Diselitkan
juga kisah sekumpulan golongan tabligh yang datang berdakwah ke rumahnya dan
seperti memaksanya ke surau, hanya kerana cara dia berpakaian tidak kelihatan
seperti ‘orang surau’. Beliau juga menulis tentang nikmat yang
dikurniakan Tuhan kepada kita semua dan kemudian menariknya satu per satu.
Akhir sekali, Meor berkisah mengenai seorang
lelaki bernama Amir yang menyukai seorang wanita bernama Fida, yang juga teman
lamanya. Namun Amir seorang ‘free thinker’ yang cuba mencari kebenaran dalam
agama. Beliau tidak percayakan Islam kerana menurutnya, banyak perkara mengenai
Islam hanya fantasi dan angan-angan. Sehinggalah dia bertemu dengan ayah Fida,
seorang Imam di surau kampungnya di Perlis.
Ternyata ayah Fida tidak melatah dengan
pengakuan jujur Amin bahawa dia seorang free thinker. Malah, ayah Fida hanya
mendengar dengan tekun hujah-hujah Amin mengenai agama.
Kisah Amir dan Fida ini ditulis di bawah tema
Syurga Yang Hilang. Sebanyak 18 bab ditulis mengenai kisah mereka. Hanya
setelah aku sampai kepada bab-bab ini baharulah pemikiran aku kembali berfungsi
dengan baik untuk memahami mesej yang disampaikannya.
Selain dari gaya penulisannya yang agak
mengelirukan, aku dapati buku ini tidak disunting dengan teliti. Terdapat kesilapan
ejaan dalam beberapa tempat dan kesilapan yang terbesar ialah apabila Amin telah
ditulis sebagai Adam dalam beberapa bab terakhir. Paling ketara pada mukasurat
132, di mana nama Adam ditulis pada awal bab dan Amin pula ditulis selang dua
perenggan kemudiannya.
Walau bagaimanapun, tidak dapat tidak, aku
rasakan buku ini sealiran dengan pemikiran Lepat @ Ismail Ariffin, dalam
bukunya Terima Kasih Si Babi Hutan. Cuma buku Lepat itu aku boleh faham dengan
baik. Sungguhpun demikian, janganlah biarkan pandangan aku ini mengaburi
persepsi kalian. Jika diteliti dengan baik, banyak mutiara kata yang boleh
dijadikan panduan (jika bukan pegangan / prinsip) hidup, kerana sesungguhnya,
hidup di dunia ini hanya sebuah jambatan ke arah kehidupan yang hakiki.
Oleh kerana buku ini pada aku hanya sebuah
bacaan ringan dan mengelirukan, maka aku berikannya DUA 🌟🌟 bintang sahaja.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJlfG2I7aaV3E0Qhku_jkZENyZkIYlXsosRe0aJ7CZup1m7OmY_4BtKA9gjlcw1y5MRzXqjf8Z4I-K5iZmwMIBaiDma3CdZmuISa5HwVLlD45pjrvSMp9oMDtCEbXlenqMbe9gHIzkN8nK/s640/20200807_075822.jpg)
No comments:
Post a Comment