Baru aku ingat, buku-buku Indie ni aku beli daripada Aloy Paradoks,
ketika dia mengadakan Jualan suatu masa dahulu. Ada beberapa buah juga yang aku
beli daripadanya. Kesemua buku keluaran penerbitan beliau bersaiz kecil dan
jumlah halamannya tidak lebih 200. Mudah dibaca dan dibawa kemana-mana.
Buku Sepucuk Pistol Di Dalam Laci ini merupakan sebuah himpunan
cerita-cerita pendek oleh Hadi M. Nor. Namun, ada beberapa cerita yang berkait
antara satu dengan lain menjadikan ia sebuah pembacaan yang menyeronokkan. Tambahan
pula apabila sambungannya bukan betul-betul selepas cerita pertama. Ada yang
berselang dua, tiga cerita. Ini menyebabkan aku membelek semula halaman
sebelumnya untuk ingat semula kisah yang mula-mula tadi.
Keras perut aku ketawa sambil mengalir airmata dengan cerita-cerita yang
ditulis ini. Gaya bahasanya santai dan jalan ceritanya juga mudah. Itu yang
menyebabkan cerita-ceritanya mudah dihadam.
Ada cerita yang berlaku di luar negara, seperti kisah Pemburuang (Pemburu
Beruang) yang berlatarbelakangkan negara Jepun dan Hujan Emas yang
berlatarbelakangkan negara Perancis. Ada juga cerita yang direka seperti Setan,
Bintang Hijau dan Malam Tanpa Bulan. Sebenarnya, semua cerita dalam buku ini
direka. Maksud aku, cerita dalam buku ini bukanlah kisah benar. Tetapi, memang
semuanya pun bukan kisah benar. Okay, aku give up! Aku harap anda
semua boleh faham apa yang aku cuba sampaikan.
Kisah Pemburuang berakhir dengan kesedihan. Pada awalnya ia agak lucu. “Yamamoto
Heikechi adalah nama ayah aku. Panggil aku Yamamoto Heikechi.” Boleh faham
lawaknya? Yamamoto menukar fikiran untuk memburu seekor beruang yang dipanggil
Kesagake setelah dia terkencing dalam seluar akibat mabuk sake. Melucukan juga
apabila seorang kapten polis bernama Suga menunjuk lagak kepada orang-orang
kampung, kemudiannya ditolak keluar oleh mereka agar dia ikut serta si
Pemburuang. Rupanya kapten polis itu seorang penakut!
Cerita Bintang Hijau buat aku ketawa sampai mengalirkan airmata. Sudah
lama aku tak membaca cerita kelakar begitu. Ceritanya pendek sahaja, cuma tiga halaman.
Mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Daniel yang menjadi angkasawan. Apabila
dia disuruh mengetatkan skru roket, dia terlupa hendak mengikat badannya kepada
kapal angkasa tersebut. Maka berterbanganlah dia di angkasa, sehingga dia
berjumpa dengan sebuah Bintang Hijau yang boleh bercakap.
Kebanyakan karakter dalam cerita-cerita ini merupakan sesuatu yang tidak
hidup, tetapi boleh bercakap. Bintang hijau ini salah satunya. Ada juga seekor
kucing yang boleh bercakap dan sebenarnya dia adalah seorang bomoh yang telah
disumpah. Ada juga seekor burung gagak yang boleh bercakap, bernama Sanolo dan
dia sebenarnya seekor jin. Sanolo telah membeli jiwa seorang perempuan dan
menukarkannya menjadi lelaki, supaya dia boleh berkahwin dengan seorang gadis
pujaan hatinya. Tetapi, setelah perjanjian setan mereka tamat, ‘lelaki’ itu
kembali bertukar menjadi wanita dan mati di atas katil, sebelah ‘isterinya’.
Ada juga cerita mengenai sekumpulan samseng yang bergaduh dengan
kumpulan samseng lain untuk merebutkan sebuah gerai yang menjual mi goreng pada
harga RM3. Kumpulan samseng tersebut namanya Punai dan bila mereka bersemangat,
mereka menjerit “Punai tak akan mengecut, Punai kita kuat!” hingga menyebabkan
seorang makcik yang duduk berhampiran menutup telinga anak perempuannya. Nama
ahli geng Punai semuanya nama samaran belaka, kecuali Wahab kerana Wahab tak
kreatif. Kelakarnya apabila geng Punai menyuruh Wahab untuk menembak Ketua Geng
Garuda semata-mata kerana Wahab tak hensem!
Kisah tentang Tok Isa dan Saka bersambung-sambung dengan kisah Sebentuk
Pusaka 1 dan Sebentuk Pusaka 2. Manakala Sebentuk Pusaka 2 pula mempunyai
kaitan dengan kisah Istana Kres yang telah diceritakan sebelum Sebentuk Pusaka
1. Saka Tok Isa digambarkan sebagai seorang lelaki yang berambut panjang, suka
hisap rokok dan bermain gitar. Kerjanya yang hakiki ialah menjaga dusun durian
Tok Isa. Tetapi, apabila dipanggil, dia boleh terbang ke mana sahaja Tok Isa
berada. Cuma yang agak melucukan apabila si Saka tiba di sebuah rumah, dia
mengetuk pintu. Sedangkan pada hakikatnya dia boleh tembus dinding.
Perjanjian Sanolo 1 bersambung dengan Perjanjian Sanolo 2. Karakter
Sanolo turut ada dalam kisah Menuju Muara yang merupakan sebuah kisah berlainan
sama sekali.
Tidak kesemua ceritanya berbentuk humor. Ada juga yang berbentuk
thriller seperti Istana Kres, yang mengisahkan tentang istana seorang puteri
bunian di tengah-tengah sebuah pulau. Kisah Keganasan Pendekar Gajah pula
merupakan sebuah kisah mistik bagaimana seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman
oleh seorang Raja dengan mencampakkannya ke dalam laut dengan kaki terikat pada
rantai besi. Lelaki itu juga telah disumpah oleh Raja tersebut agar dia boleh
bernafas dalam air. Kononnya agar dia mati secara perlahan-lahan sambil daging
dan kulitnya dimakan ikan dan hidupan lain di dalam laut hingga tubuhnya hanya
tinggal rangka sahaja. Dia terlepas setelah berlaku sebuah gempa bumi. Setelah
berjaya naik ke darat, dia membalas dendam terhadap Raja tersebut dan menyarung
kulit Raja itu.
Satu lagi kisah yang agak misteri ialah Sumpahan Orang Putih. Ia
mengisahkan seorang lelaki yang akan bertukar menjadi seorang lelaki ‘Mat
Salleh’ bernama Jimmy yang suka mencari gadis cantik untuk ditiduri. Ironinya,
kisah ini diakhiri pula dengan perspektif Jimmy yang tinggal di London tetapi
akan bertukar menjadi seorang lelaki Melayu pada setiap malam Sabtu. Tidak dinyatakan
bagaimana sumpahan itu boleh berlaku. Tajuk buku ini diambil dari kisah ini.
Terdapat tiga kisah yang sangat pendek, iaitu Kala Jengking Gergasi, Kebetulan! dan Pantai Bau Macam Ikan. Kisah-kisah ini panjangnya (atau pendeknya?) hanya
dua halaman sahaja. Namun, tetap memberikan kisah yang menarik.
Aku kira kreativiti Hadi M. Nor terletak pada keupayaannya untuk menulis
kisah yang berangkai walaupun kisah itu tiada kaitan antara satu dengan lain
dan juga kepandaiannya menulis kisah yang pendek, dipanggil certot (cerita
kontot) namun masih mempunyai makna dan plot tertentu.
Buku seperti ini aku boleh layan. Ia mengimbau semula zaman komik Gila-Gila
suatu masa dahulu yang sentiasa menghidangkan cerita-cerita lawak yang memang
kelakar. Jadi, aku beri buku ini LIMA 🌟🌟🌟🌟🌟 bintang!